UMS tuan rumah mesyuarat SATU November ini

Rombongan UMS mengambil gambar kenangan bersama bendera universiti di hadapan bangunan NCKU Taiwan. – kampusuols

KOTA KINABALU, 2 April – Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Universiti-universiti Asia Selatan, Asia Tenggara dan Taiwan (SATU) pada November ini.

Penolong Naib Canselor UMS, Prof Dr Marcus Jopony berkata mesyuarat itu dijangka dihadiri anggota SATU terdiri daripada universiti dari Brunei, Indonesia, India, Malaysia, Filipina, Thailand, Vietnam, Singapura dan Taiwan.

“Secara spesifiknya jawatankuasa SATU ditubuhkan National Cheng Kung University (NCKU) Taiwan pada 2003 bagi mengumpulkan pakar daripada kesemua universiti sekitar Asia Tenggara, Asia Selatan dan Taiwan untuk berkongsi kepakaran dan membincangkan serta mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu semasa di negara-negara ahli.

“UMS merasa sangat bertuah kerana SATU memberi kepercayaan kepada UMS sebagai tuan rumah kepada program intelek bertaraf antarabangsa ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini, selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden NCKU, Huey-Jen Su, semalam.

Marcus berkata pada pertemuan itu, Huey-Jen Su turut memaklumkan tema mesyuarat SATU kali ini ialah berkaitan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR).

Katanya ia satu peluang yang baik untuk UMS sebagai medan percambahan idea kerana universiti itu juga mempunyai program akademik berkaitan seperti Program Kerja Sosial di Fakulti Psikologi dan Pendidikan, selain kursus Khidmat Bakti Siswa yang merupakan subjek kokurikulum wajib perlu diambil pelajar.

Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) UMS itu berkata pertemuan tersebut juga memberi ruang kepada perbincangan untuk mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) atau Memorandum Perjanjian (MoA) bagi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pertukaran pelajar dan kakitangan.

“Jika semuanya berjalan lancar, kita jangkakan satu majlis menandatangani MoU/MoA antara UMS dan NCKU akan diadakan semasa mesyuarat SATU nanti,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *