Masih ramai rakyat Sabah tak dapat perkhidmatan kehakiman

KOTA KINABALU: Ramai rakyat di Sabah khususnya masyarakat miskin di luar bandar dan rakyat biasa di kawasan pekan serta bandar masih tidak mendapat akses kepada perkhidmatan kehakiman bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang membabitkan kehidupan mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata semua lapisan masyarakat termasuk yang miskin seharusnya tidak dinafikan sistem kehakiman dan mendapatkan nasihat undang-undang yang betul kerana kemudahan itu disasarkan kepada semua lapisan masyarakat.

Bagaimanapun, katanya situasi keadaan masih berlaku di Sabah, sama seperti dialami di kebanyakan negara membangun berikutan rakyat biasa khususnya golongan miskin, tidak mampu mendapatkan perkhidmatan peguam disebabkan kos yang tinggi.

“Bagi kebanyakan orang, idea mengenai akses kepada kehakiman bermakna peguam hadir di mahkamah mempertahankan kes pelanggan mereka di hadapan hakim. Ini memang benar tetapi ia lebih daripada itu, ia mesti merangkumi akses kepada golongan miskin.

“Sebagai contoh, di kawasan kampung luar bandar, masalah undang-undang yang biasa berlaku ialah berkaitan perbalahan mengenai hak tanah tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk menanganinya sedangkan mereka bergantung kepada tanah untuk hidup.

“Tanpa nasihat undang-undang yang betul, kita boleh bayangkan bagaimana mereka dan keluarga mereka terkesan dengan keadaan itu, begitu juga rakyat biasa, mereka mungkin berdepan perbalahan keluarga, hutang dan harta,” katanya pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Mokhtar; Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah.

Mohd Shafie berkata Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) perlu menganjurkan persidangan dan menjemput jurucakap yang berkaitan untuk membincangkan isu berkenaan selain melaksanakan inisiatif sesuai bagi membantu menyelesaikannya.

“Saya difahamkan, SLS ada menjalankan perkhidmatan menyediakan nasihat undang-undang percuma kepada orang ramai pada setiap hari Sabtu, ia adalah sumbangan yang sangat baik dan kita berharap ia diteruskan.

“Kita juga menghargai usaha Ketua Hakim Negara yang mewujudkan Mahkamah Bergerak di Sabah. Ia membuka laluan kepada penduduk kampung yang miskin di seluruh Sabah mendapatkan khidmat kehakiman,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata kemudahan mahkamah yang cantik dan dilengkapi pelbagai kemudahan moden tidak berguna jika ia tidak dimanfaatkan dengan baik, ia perlu disusuli dengan perkhidmatan yang bertahap profesional dan cekap.

Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di tapak seluas kira-kira 2.5 hektar dengan kos RM147.9 juta itu mula dibina pada 22 Julai 2014 sebelum diserahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) selaku wakil pelanggan pada 9 Ogos 2018 dan seterusnya kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia. – Berita Harian

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin (tujuh dari kanan) bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (enam dari kiri); Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum (lima dari kiri) dan sebahagian peguam bergambar kenangan pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di Kota Kinabalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *