Yusof Harap 69 Sekolah Tidak Selamat Di Sabah Diganti Segera


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyegerakan proses penggantian bangunan sekolah yang dikategorikan tidak selamat di Sabah sebelum Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) berakhir.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, kementerian itu kini memberi tumpuan untuk mendapatkan dana daripada Kerajaan Persekutuan bagi menyegerakan proses penggantian 69 buah sekolah yang dikategorikan tidak selamat dalam RMK11 (2016-2010).

Beliau berkata, keutamaan kementeriannya pada ketika ini adalah untuk memastikan bangunan sekolah tidak selamat ini diganti dengan kadar segera.

Mengenai 587 buah bangunan sekolah daif di negeri ini pula, Yusof berkata, keperluan mengganti dan menaiktaraf kesemua sekolah itu akan dimasukkan dalam RMK12 yang akan bermula pada 2021.

Wong mengiringi Yusof melawat Perpustakaan Cawangan Tanjung Aru yang dibuka kepada umum bermula Isnin

Katanya, kementerian itu memandang serius usaha menaiktaraf dan menggantikan bangunan 587 sekolah daif di seluruh Sabah.

”Kita merekodkan 587 sekolah daif yang terdiri daripada sekolah rendah dan sekolah menengah.

Yusof mengisi buku pelawat sempena Majlis Pembukaan Perkhidmatan Perpusataan berkenaan, turut kelihatan Pembantu Menteri Pelajaran & Inovasi Jenifer Lasimbang (empat kanan) dan Wong (dua kiri)

”Untuk menggantikan semula bangunan sekolah rendah yang daif, ia memerlukan kos sebanyak RM5juta bagi satu sekolah dan secara keseluruhannya memerlukan perbelanjaan sebanyak RM2.5 bilion,” katanya ketika ditanya mengenai sekolah daif di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pembukaan Perkhidmatan Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Tanjung Aru, di sini pada Isnin.

Yusof berkata, kementeriannya akan mencari jalan bagi mendapatan dana berkenaan.

”Saya dan Ketua Menteri akan berunding dengan Kerajaan Persekutuan kerana pendidikan terletak dibawah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan membantu mana yang boleh.

”Bagaimanapun, kita memohon supaya Kerajaan Persekutuan menyegerakan proses penggantian sekolah daif ini,” jelasnya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *