Persatuan kebudayaan Sabah digalak tingkat kerjasama dengan lembaga pelancongan

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal meletakkan tanda tapak tangan beliau di atas plak menandakan pelancaran SEPAKAT 2.0: Sipitang Baharu di Esplanad Sipitang. Turut kelihatan Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr. Yusof Yacob yang juga Adun Sindumin.

SIPITANG, 30 Mac – Persatuan-persatuan kebudayaan setiap kaum di Sabah digalakkan untuk meningkatkan kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sabah bagi membolehkan keunikan serta keistimewaan identiti dan warisan budaya etnik masing-masing dipromosikan kepada para pelancong dengan lebih berkesan, sekali gus menarik kehadiran lebih ramai pengunjung untuk menghayatinya.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia penting supaya para pelancong boleh melihat keunikan budaya sesebuah etnik itu, dan bukan hanya sekadar menontonnya pada mana-mana festival semata-mata.

“Kita juga mahu warisan budaya setiap etnik di Sabah dijaga dan dipelihara dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Irau Rayeh Lundayeh Sabah Kali Ke-14 di sini, yang turut dihadiri oleh Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob, Menteri Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedict dan Presiden Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah Datuk Pengiran Lalung, hari ini.

Ketua Menteri Sabah itu turut meluluskan peruntukan RM400,000 untuk keperluan aktiviti Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah.

Sementara itu merujuk kepada kekosongan jawatan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah susulan kematian penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt, Khamis, Shafie berkata perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu termasuk dengan kepimpinan DAP Sabah mengenai kekosongan portfolio berkenaan.

“Tiada (rombakan kabinet negeri) tetapi kita akan lihat terlebih dahulu (keperluannya) dan saya perlu bercakap dengan kepimpinan DAP mengenai kedudukan (jawatan) menteri. Saya juga akan berbincang dengan DAP mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Kecil Sandakan,” katanya.

Khamis lepas Mendiang Wong, 65, yang juga Pengerusi DAP Sabah dan Anggota Parlimen Sandakan yang keluar dari rumah pada pukul 5.05 pagi untuk menyertai aktiviti merentas hutan, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu pada pukul 12.15 tengah hari, dipercayai akibat serangan jantung.

Dalam perkembangan lain, Shafie semasa melancarkan Program Sipitang Baharu – Bersih dan Indah kemudiannya pula mengumumkan keputusan kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM2 juta bagi membina Pusat Informasi Daerah Sipitang.

Turut hadir di program itu ialah Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedict.

Yusof dalam ucapannya di majlis itu berkata rancangan membina pusat informasi itu antara lain akan melibatkan kerja-kerja menaiktaraf bangunan lama pejabat daerah berhampiran Esplanade Sipitang, termasuk mengubah suai reka bentuk bangunan lama berkenaan kepada konsep baharu, namun masih mengekalkan tapak pejabat daerah itu sebagai lokasi bersejarah Sipitang, katanya.

Beliau berkata pusat informasi itu juga akan direka bentuk sebagai sebuah galeri menempatkan sejarah daerah serta nama pemimpin Sipitang terdahulu daripada zaman British hingga sekarang, yang akan memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat mengenai kawsan itu, termasuk berkaitan lokasi pelancongan di daerah berkenaan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *