Kerajaan Negeri Lulus RM400,000 Untuk Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah

SIPITANG: Kerjaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM400,000 buat Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah melaksanakan aktiviti khususnya dalam usaha memartabatkan warisan budaya untuk generasi akan datang.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mahu keunikan serta keistimewaan budaya kaum Lundayeh terus dipelihara seperti dilakukan oleh kaum dan etnik tempatan lain di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyempurnakan gimik pelancaran Irau Rayeh Lundayeh di Pusat Kebudayaan Lundayeh Sabah di Sipitang pada Sabtu. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Usaha memartabatkan budaya nenek moyang harus menjadi satu kebanggaan untuk diwarisi oleh anak cucu kita pada masa akan datang.

“Salah satu langkah yang kita lihat ialah penganjuran Festival Irau Rayeh Lundayeh Sabah yang mengetengahkan budaya kaum Lundayeh kepada pengunjung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Irau Rayeh Lundayeh Sabah Kali Ke-14 di sini hari ini.

Program itu turut dihadiri Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob; Menteri Luar Bandar, Datuk Ewon Benedict dan Presiden Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah Datuk Pengiran Lalung.

Shafie, Yusof dan Ewon disambut oleh orang ramai semasa pelancaran Irau Rayeh Lundayeh ke-14 di Sipitang. Gambar SNT/Ihsan JKM

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri juga mahu warisan budaya setiap etnik di Sabah dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya.

Beliau seterusnya menggalakkan persatuan kebudayaan setiap kaum di negeri ini bekerjasama rapat dengan pihak Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bagi membolehkan usaha mempromosikan budaya kaum Lundayeh dilaksana dengan lebih berkesan.

Orang ramai menyambut kedatangan Shafie, Yusof dan Ewon di pelancaran Irau Rayeh Lundayeh ke-14 di Sipitang. Gambar SNT/Ihsan JKM

Katanya langkah itu secara tidak langsung dapat menarik kehadiran lebih ramai pengunjung untuk mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian budaya dan kaum yang terdapat di Sabah khususnya masyarakat Lundayeh. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *