Pengusaha sawit Sabah tidak abai tanggungjawab lindungi hutan – Teresa Kok

FOTO BERNAMA

KINABATANGAN, 30 Mac – Pengusaha tanaman kelapa sawit di Sabah, yang merupakan negeri penanaman kelapa sawit kedua terbesar di negara ini, tidak mengabaikan tanggungjawab kepada usaha konservasi hutan dan hidupan liar, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok hari ini.

Katanya kunjungannya ke negeri ini mendapati ikhtiar pengusaha sawit untuk menyumbang kepada kelestarian hutan dan alam sekitar tidak disedari oleh kebanyakan masyarakat, termasuk masyarakat negara luar yang memperjuangkan kempen anti sawit.

“Ini semua cerita baik (sumbangan pengusaha sawit kepada konservasi hutan), tetapi ramai tidak tahu industri sawit kita telah banyak membuat usaha konservasi hutan.

“Maklumat ini akan membantu kementerian saya untuk memperjuangkan industri sawit negara, khususnya dalam memaklumkan usaha baik industri ini kepada pemimpin negara luar termasuk di Eropah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Penanaman Sejuta Pokok Peringkat Negeri di Hutan Simpan Pin Supu di sini.

Kok menyambut baik usaha penggiat industri sawit di Sabah yang memberi komitmen kepada konservasi hutan seperti Sawit Kinabalu Sdn Bhd yang menguruskan Kawasan Konservasi Sungai Pin dekat sini meliputi kawasan seluas 2,500 hektar.

Di samping itu, beliau memuji pemimpin negeri-negeri yang bersetuju untuk mengehadkan peluasan penanaman kelapa sawit di negeri masing-masing.

Antaranya Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang mengumumkan secara terbuka untuk tidak membenarkan peluasan penanaman sawit ke kawasan hutan simpan kekal, pada Oktober lepas.

“Kita bukan nak kecilkan industri sawit, tetapi ada cara untuk kita menanam dengan mapan.

“Jadi, kita perlu mempelbagaikan tanaman kita,” kata Kok.

Mengenai Program Penanaman Sejuta Pokok Peringkat Negeri, Menteri Industri Utama itu berharap 100,000 pokok daripada spesies hutan dapat ditanam di Sabah setiap tahun bagi tempoh 10 tahun.

— BERNAMA

29