Kaum Murut di Tenom diseru pertahankan bahasa ibunda agar tidak pupus

CANTIK… Gadis suku kaum Murut berpakaian tradisional – FOTO BERNAMA

TENOM, 30 Mac – Suku kaum Murut di daerah ini disarankan untuk bersatu mempertahankan bahasa kaum itu agar tidak pupus dan terus dituturkan kalangan generasi muda.

Ketua Daerah Kemabong Panguot Lambang berkata etnik itu perlu memastikan bahasa itu terus dituturkan serta diajar kepada generasi muda supaya ia sentiasa kekal relevan.

Beliau berkata bahasa itu merupakan identiti kaum Murut, dan amat malang sekali sekiranya ia diabaikan sehingga tidak ada generasi lagi yang berminat untuk menuturkannya, sekaligus menjadi satu kerugian yang sangat besar.

“Era globalisasi bukan satu alasan untuk kita melupakan bahasa ibunda sendiri dengan menggunakan bahasa lain sebagai bahasa rasmi kaum atau keluarga,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Persatuan Keluarga Pahlawan Ontoros (Pusaka) di sini, hari ini.

“Melupakan bahasa ibunda sendiri (Murut) satu permulaan yang tidak positif kepada masa depan bahasa itu. Situasi ini sangat membimbangkan jika tidak ada kesedaran dikalangan kaum itu sendiri kelak kita akan kehilangan identiti dan bangsa itu sendiri,” tambahnya.

Panguot seterusnya meminta kaum Murut supaya bertindak lebih kreatif dalam memastikan bahasa itu sentiasa dijadikan bahasa komunikasi, antaranya termasuk menganjurkan pelbagai aktiviti yang berkonsepkan etnik itu boleh dilaksanakan, sebagai sebahagian daripada usaha memastikan generasi kini berminat menggunakan bahawa ibunda.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *