Rakyat Sabah, Jangan Lupakan Stephen – Setiausaha Publisiti DAP

Phoong ketika ditemui media di perkarangan di bilik Zon Kritikal dan Separa Kritikal Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Khamis (Mac 28, 2019).

KOTA KINABALU: Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berharap rakyat Sabah tidak melupakan jasa baik mendiang Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong ke atas setiap perjuangan pihaknya terhadap negeri ini.

Beliau berkata, pemergian mendiang Stephen selaku Pengerusi DAP Sabah itu merupakan kehilangan besar buat parti sekaligus jemaah menteri di Sabah di era kerajaan baharu.

Ketua Menteri Datuk Shafie Apdal bersama Phoong Jin Zhe, kanan, dan Frankie Poon di perkarangan wad Zon Kritikal dan Separa Kritikal Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Khamis (Mac 28, 2019).

Phoong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Luyang itu berkata, Stephen, 65, mendedikasikan perjuangannya untuk membela rakyat Sabah dan tetap komited dalam membangunkan kementeriannya selepas menerima mandat susulan kemenangan ketika Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

“Saya berharap, rakyat Sabah akan mengingati beliau (mendiang) dan saya akan memaklumkan kepada penyokong DAP supaya bertenang dan kita semua amat bersedih atas pemergian beliau dan kita akan memaklumkan mengenai status pengebumian kemudian.

“Beliau sihat sebenarnya, saya rasa mengenai keadaan sakit jantung mendiang, saya biarkan pihak hospital yang membuat makluman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui media di perkarangan di bilik Zon Kritikal dan Separa Kritikal Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) hari ini.

Hadir sama membuat penghormatan terakhir ke atas mendiang adalah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan rombongan jemaah menteri serta pemimpin-pemimpin atasan DAP Sabah.

Terdahulu, mendiang difahamkan mengadakan aktiviti mendaki bukit di Tambaig Adventure Park, Kampung Duvanson, Putatan pada pagi tadi sebelum mengadu sakit dan dikejarkan ke hospital.

Bagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia dipercayai diserang sakit jantung namun tiada sebarang pengesahan daripada pihak perubatan setakat ini bagi menjelaskan kedudukan sebenar punca kematian mendiang.

Sementara itu, Stephen yang menyandang Ahli Dewan Rakyat atas kerusi Parlimen P.186 Sandakan sejak 2013 dan memegang jawatan sebagai lantikan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah selepas PRU-14 lalu.

Dalam PRU-14 yang lalu, mendiang menang atas tiket DAP dengan majoriti 10,098 mengalahkan calon BN, Datuk Lim Ming Ho dengan jumlah keseluruhan 19,094 undi. – Ruzaini Zulkepli | Astro Awani

277