Mojigoh sedih dengan pemergian Stephen

Datuk Dr Marcus Mojigoh

PUTATAN: Ahli JCI Senator Datuk Dr Marcus Mojigoh berkata, pemergian Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Stephen Wong Tien Fatt secara tiba-tiba amat mengejut dan menyedihkan.

Beliau berlata, Stephen yang juga ahli JCI menyertai kegiatan merentas hutan bersama-sama ahli JCI Senator lain pada awal pagi di Tambaig Adventure Park, Kampung Duvanson, di sini.

“Beliau tidak menunjukkan apa-apa masalah kesihatan selepas menghabiskan trek sejauh 3 kilometer pada pagi itu,” katanya selepas majlis perasmian Galeri Tambaig Adventure Park di Kampung Duvanson, di sini.

Mojigoh yang juga bekas Ahli Parlimen Putatan berkata, beliau dan Stephen adalah sahabat sejak dari kecil.

“Kami sama-sama menyertai JCI walaupun ideologi politik kami berlainan tetapi beliau adalah sahabat baik saya.

“Stephen kelihatan ceria merentas hutan Tambaig bersama para jemputan lain pagi tadi.

“Kami semua di sini berasa amat terkejut. Ia sungguh menyedihkan, amat tidak disangka pertemuan kami pagi tadi adalah yang terakhir,” katanya.
Mojigoh berkata, Stephen tiba untuk acara itu kira-kira jam 5 pagi.

“Beliau menolak untuk bersarapan dahulu kerana mengejar masa untuk terbang ke Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat.

“Beliau merupakan peserta paling awal sampai dan menamatkan acara merentas desa Tambaig bersama seorang lagi ahli JCI Senate Benjamin Lo,” katanya.

Benjamin ketika ditemui berkata, mereka bersembang-sembang semasa acara merentas desa dan Stephen begitu ceria. Cuma beliau perasan wajah Stephen pucat sedikit.

Selepas menamatkan acara itu, Stephen pergi ke stesen St John’s Ambulans yang ditempatkan di situ untuk memeriksa tekanan darah beliau.

Mendiang memeriksa tekanan darah dan mengadu sakit dada kepada petugas St John’s Ambulans yang berada di kawasan acara diadakan.

Petugas St John’s Ambulans ketika ditemui berkata Stephen mengadu sakit dada dan tekanan darah beliau ketika itu ialah 104/95.

Namun menurut mereka, bacaan itu normal lalu mereka menghantar Stephen ke kereta beliau yang diletakkan di rumah Mojigoh kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, Stephen kemudian menukar baju dan dipercayai menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu namun berpatah balik terus ke hospital kerana beliau berasa tidak sihat.

Beliau meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth Satu.

BENJAMIN bersama Stephen semasa merentas desa di Tambaig Adventure Park.
BENJAMIN bersama Stephen semasa merentas desa di Tambaig Adventure Park.

Stephen adalah Ketua DAP Sabah. Beliau menang kerusi Parlimen Sandakan pertama kali pada Pilihan Raya Umum Ke-13 menewaskan Datuk VK Liew ketika itu mewakili BN.

Beliau mempertahankan kerusi itu pada PRU14 tahun lalu menewaskan Datuk Lim Ming Ho (BN-LDP).

Stephen kemudian dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan DiLantik di dalam kerajaan negeri pimpinan Warisan bagi membolehkan beliau dilantik sebagai menteri penuh. – Utusan Borneo

18