Dewan Rakyat ucap takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Sandakan

Dewan Rakyat bertafakur selama seminit pada awal sesi petang ini bagi memperingati kematian Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Stephen Wong Tien Fatt

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat bertafakur selama seminit pada awal sesi petang ini bagi memperingati kematian Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

Tien Fatt dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung, pagi tadi.

Terdahulu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, mengumumkan kematian Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah itu dan meminta Ahli Dewan Rakyat bertafakur seminit.

“Kita mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mendiang dan menghargai jasanya sepanjang menjadi Ahli Dewan Rakyat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Tien Fatt yang juga Pengerusi DAP Sabah, pagi tadi menyertai kegiatan mendaki bukit di Tambaig Adventure Park, Kampung Duvanson, Putatan, dekat Kota Kinabalu, sebelum dipercayai diserang sakit jantung dan dibawa ke hospital berhampiran.

Mendiang memenangi Parlimen Sandakan buat penggal kedua pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Dilantik) sebelum dilantik menjadi Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah pada Mei tahun lalu. – Berita Harian

5