Bantuan pelajar pendidikan tinggi 2019 dikreditkan mulai hari ini

PUTRAJAYA, 28 Mac – Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT) 2019 sebanyak RM100 disalurkan melalui Kad Diskaun Siswa Bank Rakyat secara berperingkat mulai hari ini, kata Kementerian Pendidikan.

Bantuan itu dijangka memanfaatkan 1.2 juta pelajar dengan peruntukan RM120 juta, kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

“Bagi pelajar yang sudah mempunyai Kad Diskaun Siswa Bank Rakyat, bantuan akan dikreditkan ke akaun pelajar mulai 28 Mac 2019 secara berperingkat manakala bagi pelajar yang belum mempunyai kad itu, permohonan baharu boleh dibuat melalui portal Bank Rakyat mulai 1 April 2019,” katanya.

Pelajar yang memenuhi kriteria boleh membuat semakan status kelayakan melalui portal Bank Rakyat mulai hari di pautan http://www.bankrakyat.com.my/bppt.

Menurutnya, jika semakan status menunjukkan “TIADA REKOD”, pelajar diminta menghubungi dan memaklumkan kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar institusi pendidikan masing-masing untuk mengemas kini data MyMohes selewat-lewatnya pada 28 April 2019.

Untuk maklumat lanjut, pelajar boleh merujuk kepada Garis Panduan Pemberian BPPT 2019 dengan mengakses pautan portal Kementerian Pendidikan https://www.moe.gov.my/index.php/pemberitahuan/pengumuman/4994-garispanduan-bppt2019.

Kementerian itu berkata tarikh akhir permohonan BPPT 2019 ialah pada 31 Mei dan tarikh akhir pengambilan Diskaun Siswa Bank Rakyat pada 31 Julai. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *