TAWAU, 24 Mac – Usaha menaik taraf Kem Pengakap Tiku di sini, akan dibawa ke peringkat Kementerian Belia dan Sukan Sabah untuk perbincangan lanjut.
Menterinya, Frankie Poon Ming Fung berkata perbincangan itu merangkumi pelbagai aspek termasuk pemilikan tanah.
“Saya tidak biasa dengan keadaan kem ini, saya perlu melihat keadaannya terlebih dahulu dan yang mana satu yang saya boleh mula-mula bantu. Ada perkara yang boleh dilakukan dalam jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang, saya akan buat yang terbaik dengan dengan kuasa yang saya ada dan bincang dalam mesyuarat kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merasmikan Jambori Nusantara Antarabangsa kali kedua di sini, hari ini.
Program itu disertai lebih 1,500 pengakap darat, kelana dan udara di Sabah termasuk dari Indonesia dan Brunei.
Dalam pada itu, Mohd Shafie dalam teks ucapan dibacakan Frankie, berkata generasi muda perlu dilengkapkan dengan ilmu, kemahiran, pengalaman serta nilai kesukarelawan yang tinggi untuk menjadi pelapis pemimpin masa hadapan.
Menurut Mohd Shafie, Jambori diyakini bukan sahaja dapat menerap nilai kesukarelawanan peserta tetapi mendidik mereka supaya berdisiplin serta bersikap positif dan bersemangat.
Berkaitan penglibatan kontinjen pengakap dari Nunukan dan Tarakan, Indonesia serta Brunei itu, katanya perkara itu sekali gus dapat mengeratkan semangat nusantara menerusi program jambori.
“Pada hemat saya, jambori merupakan medium untuk menyatukan perpaduan dalam keadaan hidup bermasyarakat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sabah Mejar Baharudin Chinchang Ujang menyarankan jawantankuasa pengakap di sini menyediakan kertas kerja berhubung keperluan menaik taraf kem di Tiku itu.
–BERNAMA