Ugut tembak adik bising main game

SENJATA buatan sendiri yang digunakan suspek untuk mengugut adiknya. FOTO ihsan Polis

LELAKI mengacukan senapang buatan sendiri ke arah adik kerana dikatakan membuat bising ketika bermain permainan telefon pintar di Kinabatangan, sebelum ditahan polis, Khamis lalu.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, suspek dikatakan mengacukan senjata ‘Ginsok’ itu ke arah badan mangsa sebelum berkata: ‘Jangan kau bising.’”

Kejadian difahamkan berlaku pada 10 Januari lalu di rumah mereka di Kampung Warisan, Kinababtangan namun mangsa yang berusia 18 tahun hanya membuat laporan polis 21 Mac lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Asisten Superintendan Mohammad Azwan Abdul Wahab berkata, suspek ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan dalam Op Cantas yang dijalankan di Kampung Warisan.

Katanya, suspek berusia 27 tahun itu ditahan dalam serbuan pada 9.30 malam ketika dia sedang tidur di rumahnya.

“Pemeriksaan di bilik suspek menemui selaras senjata api buatan sendiri jenis ginsok yang dipercayai digunakan dalam kejadian mengugut adiknya.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, suspek mengaku senjata berkenaan adalah miliknya dan pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *