Pembalakan haram di hutan simpan Sabah harus dihentikan

KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hadir pada sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat kebangsaan di Pusat Sejadi Hutan Lipur Kawang, hari ini. – Foto BERNAMA

PAPAR: Jabatan Perhutanan Sabah mesti meningkatkan penguatkuasaan bagi menghentikan kegiatan pembalakan haram di kawasan hutan simpan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata tindakan itu penting bagi memastikan kawasan hutan simpan dipelihara sepenuhnya daripada sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan kawasan itu.

“Hutan simpan yang ada mesti dijaga dengan baik dan saya tidak mahu melihat berlaku pembalakan haram di kawasan itu. Kerajaan negeri Sabah memberikan komitmen tinggi dalam memastikan hutan simpan yang ada harus dilindungi sepenuhnya.

“Ini termasuklah membuat keputusan menghentikan eksport kayu balak ke luar negara,” katanya ketika melancarkan sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat kebangsaan di Pusat Sejadi Hutan Lipur Kawang dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong; Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Mashor Mohd Jaini dan Duta Besar Kesatuan Eropah ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez.

Mohd Shafie berkata, ketika dilantik menjadi Ketua Menteri, beliau mengarahkan Yayasan Sabah menghentikan kegiatan pembalakan di kawasan hutan di bawah seliaannya.

Katanya, pembalakan bukan lagi sumber utama kewangan kerajaan negeri seperti yang berlaku pada pemerintahan kerajaan negeri sebelum ini.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan negeri sekarang mempelbagai sumber kewangan negeri dari pelbagai sektor yang ada.

“Program yang dilancarkan hari ini satu tindakan baik bagi mendidik orang awam mengenai kepentingan menjaga hutan, khususnya belia yang terbabit dalam usaha pemuliharaannya, selain mengubah pemikiran masyarakat.

“Di peringkat kerajaan negeri, amat penting bagi kita memainkan peranan dan mengatur langkah untuk memelihara hutan sama ada dalam aspek polisi serta penguatkuasaan supaya penjagaan hutan Sabah dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Kerajaan negeri juga mengalu-alukan inisiatif oleh Jabatan Perhutanan Sabah dalam usaha melindungi dan memulihara sumber hutan negeri ini,” katanya.

Sempena program itu, Mohd Shafie turut menyaksikan pemeteraian surat niat antara Jabatan Perhutanan Sabah dan komuniti dari Kampung Kolosunan, Babagon Toki dan Tampasak bagi projek perintis Bayaran Perkhidmatan Ekosistem di Empangan Babagon, Penampang.

Projek berkenaan satu usaha kerajaan negeri bersama komuniti untuk memulihara kawasan Empangan Babagon yang juga menjadi sumber air penting bagi penduduk sekitar Penampang, Lok Kawi, Tanjung Aru, Putatan dan Kota Kinabalu.

Sementara itu, Mashor dalam ucapannya berkata, jabatannya telah merangka beberapa strategi mengenai kesedaran awam terhadap kepentingan hutan, antaranya penanaman pokok hutan.

“Sempena Hari Hutan Antarabangsa ini, kita telah menjalankan aktiviti penanaman pokok hutan spesies tempatan dalam lima wilayah perhutanan iaitu Sandakan, Kota Kinabalu, Tawau, Kudat dan Keningau.

“Program ini membabitkan penyertaan aktif pelajar sekolah dan masyarakat setempat yang telah menanam kira-kira 5,000 pokok,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *