Tiada lagi penglibatan PDP untuk Projek Pan Borneo

KOTA KINABALU: Model Rakan Penyampaian Projek (PDP) tidak lagi terlibat dalam Projek Lebuhraya Pan Borneo.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, perkara itu diputuskan selepas perbincangan dengan kerajaan Persekutuan termasuklah Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Kerja Raya Baru Bian.

SHAFIE (dua kanan) ketika melawat tapak pameran sempena Persidangan HoB.
SHAFIE (dua kanan) ketika melawat tapak pameran sempena Persidangan HoB.

Menurutnya, pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo akan diteruskan tanpa ada penglibatan sektor swasta seperti PDP.

Sebelum ini, portal akhbar The Edge melaporkan keputusan kerajaan Persekutuan untuk menggugurkan model PDP dalam pembinaan projek Pan Borneo di Sabah.

Ia berikutan pelaksanaan projek berkenaan yang melebihi kos asal.

Shafie berkata, kerajaan negeri seharusnya dilibatkan dalam pelaksanaan projek itu bagi memastikan ia diurus secara telus.

”Bagaimana sektor swasta seperti PDP ini dibiarkan menguruskan wang berjumlah RM16 bilion.

“Kita seharusnya melibatkan agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kewangan supaya ia dapat diuruskan secara telus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa ‘Heart of Borneo’ (HoB) dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2019 di sini.

Pihaknya berharap, langkah untuk melibatkan agensi kerajaan negeri dalam pembinaan lebuhraya itu dapat dipercepatkan.

Pada masa ini, Borneo Highway PDP Sdn Bhd (BHP) adalah PDP bagi pembinaan lebuhraya sepanjang 706 kilometer di Sabah manakala PDP lebuhraya di Sarawak adalah Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *