Sudah 56 Tahun MA63 Dimeterai, Putrajaya Perlu Laksanakan Sekarang

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau


KOTA KINABALU: Janji Pakatan Harapan (PH) untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang bakal mengubah status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Semenanjung terus menjadi antara isu yang diperdebatkan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam perbahasannya hari ini berkata, Putrajaya perlu melaksanakan MA63 kerana dokumen perjanjian itu telah dimeterai sejak 56 tahun pembentukan Malaysia.

“Tolonglah, laksanakan sepenuhnya apa yang terkandung dalam MA63. Tidak dinafikan, sejak pembentukan Malaysia 56 tahun yang lalu, sudah banyak perubahan dan pembangunan di Sabah.

“Walau bagaimana pun bila dibuat perbandingan antara wilayah, maka timbullah rasa tidak puas hati, perasaan marah, malah mungkin ada keinginan memberontak.

“Laksanakanlah MA63 sebagai langkah memperkukuhkan keutuhan Persekutuan Malaysia,” katanya yang merupakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah.

Sempena sambutan Hari Malaysia 2018 pada 16 September tahun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjanji akan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Semenanjung.

Berikutan itu, beberapa jawatankuasa telah dibentuk untuk mengkaji pindaan Perlembagaan demi memastikan pelaksanaan MA63 direalisasikan.

Madius berkata, dalam membuat gesaan tersebut beliau tidak mahu dianggap sebagai bersikap parokial (budaya politik sempit), namun tiada sesiapa boleh menafikan bahawa MA63 adalah asas kepada pembentukan Malaysia.

“Tuan Yang Dipertua, saya bangga menjadi Anak Malaysia. Saya tidak mahu kedengaran bersikap parokial, namun bagaimana mungkin kita boleh memperkukuhkan lagi Malaysia ini kalau kita terus menerus mengabaikan MA63 yang menjadi asas pembentukan negara?” soalnya.

Dalam hujahnya, Madius turut berterima kasih kepada Kabinet Kerajaan Persekutuan yang meluluskan baru-baru ini pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) untuk dibentangkan di Parlimen.

“Pindaan terhadap Artikel 1(2) itu nanti, harus mengambil kira, pindaan-pindaan, dengan izin, consequential terhadap perkara-perkara lain seperti Artikel 160 (2) mengenai tarikh lahir Malaysia dan tafsiran terhadap perkataan “Persekutuan”.

“Tuaran juga mahu supaya deraf pindaan perlembagaan itu dirujuk dahulu ke satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum dibentangkan di Dewan Mulia ini untuk memberikan ruang penglibatan rakyat seluruh negara,” katanya. – BorneoToday