Penduduk Kampung Sungai Matahir Dapat Masjid Baharu

Ma’mun, tengah, bersama penduduk Kampung Sungai Haji Matahir menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Solehin yang baru siap.

TAWAU: Kira-kira 500 penduduk Kampung Sungai Matahir mendapat khabar gembira selepas projek bina semula Masjis As-Solehin di kampung itu kini siap sepenuhnya.

Pembinaan masjid bernilai RM330,000 itu siap hujung bulan lalu dan kini boleh digunakan sepenuhnya untuk aktiviti keagamaan.

Majlis penyerahan masjid berkenaan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman selepas solat Jumaat hari ini.

Masjid As-Solehin

Turut hadir, Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tawau, Kahar Sundu; jurutera Majlis Perbandaran Tawau, Akmal Maruf dan penduduk kampung.

Ma’mun ketika dihubungi berkata, pembinaan masjid tersebut melegakan penduduk di situ yang sebelum ini terpaksa pergi ke kampung berhampiran untuk menunaikan kewajipan agama.

“Alhamdulillah sudah siap sepenuhnya dengan kos yang begitu rendah, infrastruktur agama ini sudah boleh digunakan, sangat selesa serta mempunyai pendingin hawa.

“Saya harap penduduk menggunakan masjid ini dengan baik kerana mereka tidak perlu lagi mencari masjid lain untuk beribadat selepas ini,” katanya kepada Borneo Today. – BorneoToday