Tanam ganja lebih untung daripada kelapa sawit

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli.

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) mencadangkan kepada Kerajaan Selangor untuk mempertimbangkan tanaman ganja di negeri ini bagi tujuan perubatan.

ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli, berkata bukan satu kesalahan jika tanaman ganja diusahakan bagi tujuan perubatan, malah undang-undang negara membenarkan perkara itu dilakukan.

“Akta Dadah Berbahaya 1952 menyatakan bahawa mana-mana jabatan kerajaan boleh membuat penanaman ganja bagi tujuan perubatan.

“Satu kajian bagi tanaman ganja juga pernah dibuat Pengarah Pusat Racun Negara Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mohamed Isa Abd Majid dengan kerjasama sebuah syarikat tempatan.

“Kajian ini antara lain untuk menjadikan industri ini sebagai tanaman komersial bagi tujuan penyelidikan, perubatan serta eksport,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Mohd Shaid berkata, tanaman ganja memberi pulangan besar iaitu sekurang-kurangnya RM9 juta setahun bagi keluasan tanah 0.4 hektar meliputi tiga kali proses penuaian.

“Jumlah ini melebihi pulangan tanaman sawit yang hanya memperoleh sekitar RM3,000 bagi tanaman berkeluasan sama.

“Diandaikan Kerajaan Selangor dapat mengusahakan lebih daripada 40 hektar, negeri ini akan jadi pengeluar tanaman ganja terbesar di negara ini.

“Namun, tanaman ini dicadangkan dilakukan di kawasan tertentu yang hanya boleh diakses oleh pihak tertentu sahaja. Selain itu, undang-undang perlu diperkemaskan bagi mengelakkan berlaku urus niaga di pasaran gelap,” katanya. – Berita Harian