Mak nyah Warga Filipina bogel ‘menginap’ di penjara

Kent dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

MAK nyah yang sebelum ini tular di media sosial berjalan bogel di pembahagi jalan terpaksa ‘menginap’ di penjara Sungai Buloh sementara menunggu sebutan kes pada 22 April ini.

Ia berikutan Kent Caburnay Acuin, 29, yang juga warga Filipina tidak ditawarkan ikat jamin selain tiada penjamin selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas satu lagi pertuduhan mengganggu kehormatan orang.

Kent membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Munirah Abdul Rahman.

Mengikut pertuduhan, Kent didakwa memanjat kereta Honda City kelabu dalam keadaan berbogel dengan niat mengganggu kesantunan (kehormatan) seseorang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Sultan Ismail 10.40 pagi 13 Mac lalu.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya B Rajdeep Singh tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh kerana tertuduh adalah warganegara asing selain dia tidak mempunyai penjamin rakyat Malaysia.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 22 April ini.

Pada 13 Mac lalu, Harian Metro melaporkan seorang individu berbogel sambil melakukan aksi lucah di hadapan sebuah pusat beli belah di sekitar Jalan Imbi, berhampiran persimpangan lampu isyarat Bukit Bintang.

Mak nyah terbabit turut didapati berdiri di atas sebuah kereta sebelum menuju ke arah kereta lain. – Harian Metro

167