KDN akan siasat rakyat ada dua kewarganegaraan

MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 kepada penerima di Putrajaya, hari ini. – Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat jika ada laporan mengenai rakyat yang mempunyai dua kewarganegaraan, iaitu kewarganegaraan Malaysia dan Thailand.

Ia susulan laporan khas BH hari ini mengenai ribuan rakyat Thailand yang dipercayai mempunyai dua warga negara itu sejak 1980-an hingga kini, yang membolehkan mereka keluar masuk ke negara ini tanpa sekatan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata siasatan mengenai perkara itu tidak boleh dibuat berdasarkan dakwaan dan memerlukan bukti kukuh untuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat siasatan.

Katanya, dasar kerajaan Malaysia adalah tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan, sekali gus beliau menafikan pemilikan kewarganegaraan Malaysia oleh warga Thailand boleh diperoleh dengan mudah pada 1980-an.

“Seseorang warga negara Malaysia boleh diambil tindakan pelucutan kewarganegaraan Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, bagi keadaan seperti memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara asing sama ada melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan).

“Tindakan pelucutan bagi kesalahan ini boleh diambil di bawah Perkara 24(1) Perlembagaan atau menuntut dan menggunakan suatu hak/keistimewaan yang diberikan secara khusus kepada seseorang warga negara negara asing, seperti menggunakan hak undi bagi pemilihan politik di negara asing berkenaan, memohon pasport/dokumen perjalanan negara asing, atau menggunakan pasport/dokumen perjalanan negara asing.

“Tindakan pelucutan bagi kesalahan ini boleh diambil di bawah Perkara 24(2) perlembagaan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 di sini, hari ini. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *