Kuatkuasa undang-undang lambakan PTI di Sabah

Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) John Charles Mitah Mikat

KOTA KINABALU: Kerajaan digesa memandang serius isu pendatang tanpa izin (PTI) dengan menguatkuasakan undang-undang berkenaan lambakan PTI di negeri ini.

Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) John Charles Mitah Mikat berkata kerajaan disaran menggubal satu akta baharu sebagai tambahan undang-undang sedia ada agar sekatan kemasukan PTI lebih kukuh.

“Hukuman lebih berat perlulah diperuntukkan terhadap PTI yang masuk ke dalam negeri ini tanpa sebarang dokumen perjalanan sah.

“Undang-undang lebih berat juga perlu dikuatkuasakan termasuk menghalang perkahwinan wanita tempatan dengan warga asing kecuali mereka mempunyai dokumen perjalanan sah bagi menghindari fenomena lambakan ‘stateless kids’ seperti apa yang berlaku di Sabah sekarang,” katanya.

Menurutnya saranan itu bukanlah bersifat diskriminasi terhadap hak individu untuk menghalang perkahwinan tetapi berdasarkan kepada undang-undang negara yang perlu dihormati dan dipatuhi sepertimana yang terdapat di setiap negara lain.

John berkata salah satu isu berkaitan yang juga harus dipandang serius adalah isu kanak-kanak tanpa kerakyatan (stateless kids).

“Kerajaan hari ini sepatutnya mampu mencari kaedah terbaik untuk menangani isu stateless kids yang semakin merebak di negeri ini.

“Jika kedatangan PTI tidak disekat maka ia boleh menyebabkan kebanjiran PTI di Sabah yang seterusnya mampu menjejaskan kesejahteraan serta keselamatan orang tempatan,” katanya.

Tambahnya kerajaan juga perlulah mengutamakan program pemutihan di negeri ini terlebih dahulu sebelum menyentuh perihal kebajikan kanak-kanak tanpa kerakyatan hasil perkahwinan orang tempatan dengan warga asing.

“Sejak kerajaan baharu memerintah sembilan bulan lalu, masyarakat giat bercerita berkenaan dakwaan pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing.

“Terbaharu adalah berkenaan pemberian dokumen kepada kanak-kanak tanpa sijil kerakyatan dengan alasan menitik berat perihal isu kemanusiaan dan kita harapkan ini bukanlah satu tindakan dipanggil ‘batu loncatan’ yang digunakan oleh PTI,” katanya.

John berkata pihaknya berpendapat isu kanak-kanak tempatan yang kurang berkemampuan serta hidup susah di luar bandar dan pendalaman perlu diutamakan terlebih dahulu.

“Kita masih mengalami masalah pembangunan di luar bandar termasuk kelengkapan sekolah, masalah air bersih, jalan raya terutama di kawasan Pitas, dan fasiliti di kampung-kampung masih diabaikan.

“Perkara asas ini seharusnya perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum perkara baharu diambil kira bagi memastikan Sabah setaraf maju dengan kawasan lain di Malaysia,” katanya. – Utusan Borneo

128