Warisan Tiada Kaitan Dengan Penahanan Pengganas

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan penahanan 13 individu yang disyaki pengganas di Semporna dan Tambunan dengan parti berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, isu berkaitan keselamatan ini adalah bidang kuasa polis yang berada dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bukan Jabatan Ketua Menteri (JKM).

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri menyokong tindakan polis yang berjaya menahan 12 warga Filipina dan seorang warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas pada 11 dan 12 Mac lalu.

Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sabah ini berkata, pihaknya telah menerima maklumat risikan dan tindakan telah diambil.

“Kita kena menyokong (usaha penahanan) ini untuk memastikan orang-orang ini ditangkap. Saya dimaklumkan kita akan mendapat lebih banyak maklumat tentang keberadaan (pengganas) yang lain jika mereka masih berada di Sabah,” ujarnya.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan memaklumkan penahanan 13 individu berkenaan dilakukan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dengan kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Unit 69 Komando Polis Diraja Malaysia.

Tangkapan pertama dilakukan pada 11 Mac di Semporna membabitkan lima lelaki warga Filipina dan seorang lelaki tempatan berusia antara 40 hingga 60 tahun.

Empat dari mereka disyaki terbabit dalam pertempuran bersama Kumpulan pengganas Maute di Bandar Marawi Filipina pada 2017.

Tangkapan kedua juga dilakukan pada tarikh yang sama (11 Mac) di Tambunan melibatkan lima lelaki dan seorang wanita warga Filipina berusia antara 23 hingga 63 tahun.

Manakala, tangkapan ketiga dilakukan pada 12 Mac di Tambunan membabitkan seorang lelaki warga Filipina berusia 39 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan. – BorneoToday

292