Pusat latihan bomba bernilai RM50 juta bakal dibina di Tuaran

KOTA KINABALU: Sebuah pusat latihan kebombaan dan penyelamatan yang mampu menempatkan kira-kira 200 anggota atau pelatih bakal dibina di Tuaran, tahun depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mentek, berkata projek bernilai RM50 juta itu telah diluluskan kementerian dan kini dalam proses perolehan sebelum pembinaan dilaksanakan.

Katanya, lokasi pusat latihan itu telah dikenal pasti iaitu di tanah seluas 12.14 hektar, manakala kos bagi kerja awal projek berkenaan iaitu RM500,000 telah disediakan.

“Pusat latihan itu nanti bukan saja merangkumi bangunan pentadbiran, malah kemudahan lain termasuk 60 bilik asrama serta beberapa kemudahan lain,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Tamat Kursus Sijil Sains Kebombaan Gred KB19 Siri 2 2018 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Sabah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Muhammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah.

Mengulas lanjut, Mohammad berkata, pembinaan pusat latihan baharu itu adalah kerana tempat latihan di ABPM Wilayah Sabah hanya berstatus sementara.

“Setakat ini kita mempunyai lima pusat latihan kebombaan dan penyelamatan di negara ini dan kita akan menjadikan semua lima pusat latihan ini sebagai pusat kecemerlangan.

“Apabila pusat latihan di Tuaran yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun selepas pembinaannya, beberapa latihan khusus terutama unit yang baharu ditubuhkan akan dilaksanakan di situ seperti pemadaman penempatan atas air, Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) serta pasukan bomba minyak dan gas,” katanya.

Sementara itu, Mohammad berkata, tiga lagi balai bomba baharu akan dibina di Sabah tahun ini iaitu di Merotai, Nabawan serta Putatan.

“Ini akan menjadikan jumlah keseluruhan balai bomba di Sabah meningkat kepada 28. Ketika ini Sabah mempunyai 23 balai yang sedang beroperasi, manakala dua lagi iaitu di Sook dan Pitas masih dalam pembinaan.

“Selain itu, pihak kementerian telah meluluskan peruntukan kira-kira RM10 juta bagi menaiktaraf tiga balai bomba di negeri ini iaitu di Semporna yang membabitkan kos RM10 juta termasuk pembinaan kuaters serta di Beaufort dan Lahad Datu, masing-masing dengan kos kira-kira RM5 juta,” katanya.

411