Warga emas maut selepas terperangkap dalam asap di Kuala Penyu

Lelaki warga emas ditemui maut oleh penduduk kampung. FOTO Ihsan Bomba

Maut dalam asap

LELAKI warga emas maut selepas terperangkap dalam asap tebal ketika cuba memadam kebakaran di kebun buah miliknya di Kampung Mansud, Kuala Penyu, hari ini.

Mangsa Hasrin Asmat, 87, ditemui tidak sedarkan diri oleh penduduk kampung kira-kira jam 12 tengah hari sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang ke lokasi.

Menurut sumber, sebelum kejadian mangsa dikatakan membersihkan kebun dan melakukan pembakaran.

Bagaimanapun, keadaan semakin tidak terkawal hingga api merebak ke seluruh kebun seluas 0.4 hektar itu.

Mangsa kemudian cuba memadamkan kebakaran namun terperangkap dalam asap tebal sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh penduduk kampung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Penyu, Awang Mohd Sabri berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.34 pagi dan susulan itu tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran membabitkan kebun buah-buahan dan operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan.

“Kamidimaklumkan seorang mangsa lelaki terbabit dalam kebakaran itu dan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Awang Mohd berkata, operasi turut dibantu pasukan bomba sukarela dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.10 tengah hari.

“Api berjaya dipadamkan dan mangsa dihantar ke Hospital Kuala Penyu untuk tindakan lanjut,” katanya. – Harian Metro

Lelaki warga emas ditemui maut oleh penduduk kampung. FOTO Ihsan Bomba
Lelaki warga emas ditemui maut oleh penduduk kampung. FOTO Ihsan Bomba

498