ESSCOM kesan ‘laluan tikus’ elak pemeriksaan daratan

KOMANDER ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali (dua dari kanan) hadir pada Program Kepolisan Komuniti di RCP Sapi Nangoh, hari ini. – Foto Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengenal pasti kewujudan ‘laluan tikus’ susulan pelaksanaan pusat pemeriksaan daratan atau Road Check Point (RCP) di Sapi Nangoh, yang menjadi laluan utama menghubungkan pantai timur dan pantai barat negeri ini, sejak awal Mac lalu.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata laluan tikus itu yang diwujudkan pihak tidak bertanggungjawab adalah bagi mengelak sekatan RCP Sapi Nangoh yang dilaksanakan sejak 6 Mac lalu dengan laluan dibina di kawasan ladang.

Katanya, pihaknya secara rasmi akan meminta syarikat perladangan agar tidak membenarkan laluan tikus dibuka di ladang dan meneliti semula dari segi perundangan mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadap pihak ladang yang didapati bersekongkol.

“Kita sudah menggerakkan pegawai dan anggota daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion Ke-20 bagi mengesan jalan tikus terbabit untuk ditutup.

“Selain itu, kita akan menempatkan kenderaan pelbagai bentuk muka bumi (ATV) di setiap RCP (Sapi Nangoh dan Kalabakan) untuk memperkasakan operasi mengesan laluan tikus,” katanya kepada media selepas Program Kepolisan Komuniti di RCP Sapi Nangoh, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin; Pegawai Pemerintah Batalion Ke-20 PGA, Asisten Komisioner J Ratan Kumar Singh dan Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan V Shivananthan.

Mengulas lanjut, Hazani berkata, sejak RCP Sapi Nangoh dibuka, aktiviti pergerakan pendatang asing tanpa izin (PATI) mula berkurangan sekali gus menunjukkan kesungguhan ESSCOM untuk mengambil tindakan tegas terhadap apa saja jenayah demi mempertahankan keselamatan dan keamanan negara.

Menerusi RCP itu juga, katanya, pasukan keselamatan berjaya menahan 297 orang tanpa dokumen pengenalan diri yang menggunakan laluan terbabit, dua hari selepas ia dilancarkan.

“Kita akan melaksanakan pemeriksaan ini 24 jam pada setiap hari sehingga mana keadaan kita fikirkan sesuai dan akan lihat semula apa bentuk rancangan seterusnya,” katanya.

Hazani berkata, seramai 32 anggota bersama seorang pegawai ditempatkan di RCP berkenaan bertujuan mengekang elemen penyeludupan PATI, kemasukan barang terlarang serta elemen pengganas.

Katanya, ESSCOM juga akan menempatkan Unit Anjing Pengesan (K9) di RCP berkenaan bagi memperkasakan operasi termasuk mengesan barang terlarang seperti dadah dan bahan letupan.

Pewujudan RCP Sapi Nangoh diumumkan sejak Ogos lalu selepas pelaksanaan RCP Kalabakan pada Mac tahun lalu. – Berita Harian

702