Tuai ikan kelah

PENDUDUK kampung menangkap ikan kelah menggunakan pukat pada acara pembukaan tagal di Kampung Lingga, hari ini. – Foto Edmund Samunting

KIULU: Ikan kelah atau palian dengan berat hampir tiga kilogram antara ratusan ikan yang berjaya ditangkap pada acara pembukaan tagal di Kampung Lingga, di sini, hari ini.

Lebih meriah, penduduk kampung daripada kanak-kanak hinggalah orang dewasa turut serta menangkap ikan di sungai berkenaan yang dijaga menerusi sistem adat, iaitu larangan menangkap ikan sesuka hati dikenali sebagai bombon atau tagal.

Aktiviti ini biasanya dilakukan setahun sekali ketika musim kemarau berikutan paras air sungai yang cetek.

Tinjauan mendapati, aktiviti ini dijalankan oleh penduduk kampung seawal jam 8 pagi.

Mereka menangkap ikan menggunakan pukat bersaiz kecil, jala dan senapang ikan.

Ikan yang ditangkap akan dikumpulkan sebelum dimasak secara gotong royong dan dihidang kepada orang ramai yang hadir.

Acara selama sehari itu dihadiri Presiden Parti Bersatu Sabah yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai dan beberapa pemimpin PBS.

Maximus berkata, sistem tagal bukan sahaja untuk pemuliharaan sungai tetapi mempromosikan kawasan berkenaan sebagai pusat pelancongan.

“Sistem tagal sebenarnya satu budaya yang perlu dijaga dan amalkan dan juga ia dapat membantu ekonomi masyarakat kampung.

“Kini beberapa daerah seperti Kota Marudu, Tambunan, Penampang dan Ranau sudah amalkan (sistem tagal),” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *