‘Sogit pibabasan’ selesai perselisihan faham

SIMBOLIK perdamaian mengikut adat istiadat etnik Dusun antara Wilfred (kanan) dan Richerd untuk menyelesaikan perselisihan faham di antara mereka. FOTO Fardy Bungga

PENGAWAL keselamatan dikenakan sogit (denda) kerana mengeluarkan kenyataan kesat terhadap Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau melalui aplikasi WhatsApp tahun lalu.

Sogit yang membawa maksud denda mengikuti adat istiadat etnik di Sabah khususnya suku kaum Dusun diamalkan sejak dahulu lagi bagi mengekang pelanggaran adat dan mendisiplinkan masyarakat.

Perkara berkenaan yang dirujuk ke Mahkamah Anak Negeri (MAN) Tamparuli 26 Februari lalu, memutuskan tertuduh, Richerd Panis, 40, perlu membayar sogit penyelesaian mengikut Seksyen 13 dan 58 Enakmen 1992.

Mengikut peruntukan undang-undang adat itu, Richerd diarahkan membayar denda sebanyak RM800, dan seekor kambing masing-masing kepada Madius serta seorang lagi, Johnny Upin sebagai orang yang membuat laporan.

MAN Tamparuli juga memutuskan supaya kes berkenaan diselesaikan melalui upacara sogit perdamaian yang dihadiri Richerd dan Madius serta disaksikan oleh Ketua Anak Negeri MAN Tamparuli Joseph Sabean di kediaman Johnny di Kampung Topokon, dekat Tuaran, semalam.

Berucap pada majlis berkenaan, Johnny berkata, dia membuat laporan polis terhadap Richerd kerana mengeluarkan kenyataan kesat terhadap Madius dalam satu WhatsApp group.

“Ekoran laporan berkenaan Richerd ditahan namun dibebaskan semula atas jaminan polis. Pada 22 November tahun lalu, saya sebagai pengadu datang semula bersama Richerd ke Balai Polis Tuaran untuk menyelesaikan perkara itu dan atas persetujuan bersama kita bawa kes ini ke MAN.

“Sekiranya Richerd tidak setuju untuk membawa kes ini ke MAN, kita akan bawa kes ini ke Mahkamah Sivil dan ia akan berlanjutan, selain Richerd bakal berdepan hukuman yang lebih berat termasuk dipenjarakan,” katanya.

Johnny berkata, sebagai pengadu beliau berterima kasih kepada MAN Tamparuli kerana menyelesaikan perkara berkenaan dengan baik.

Sementara itu, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, beliau berharap penyelesaian menerusi sogit ‘pibabasan’ (denda perdamaian) ini akan memberi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak melakukan perkara melebihi batasan.

“Hari ini saya dengan tulus ikhlas memaafkan dia dan kita selesaikan perkara ini secara adat supaya ia menjadi rujukan dan pengajaran kepada semua.

“Saya bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini di MAN dan sekiranya kes ini di selesaikan di Mahkamah Sivil mungkin hukuman lebih berat akan dikenakan kepada Richerd.

“Namun, bagi saya apa yang penting adalah perdamaian sesama insan,” katanya. – Harian Metro

102