”Jika Dia Tak Ada, Kami Semua Dah Tiada,” Tindakan Wira Ini Berjaya Selamatkan Ramai Mangsa Dari Ditembak Di Christchurch

Seorang lelaki yang berada di dalam Masjid Christchurch ketika serangan pengganas berlaku diangkat sebagai wira kerana keberaniannya.

Ketika penyerang bersenjata mara ke arah masjid, Abdul Aziz, 48, tidak bersembunyi sebaliknya berdepan dengan pengganas tersebut dan bertindak mengejarnya supaya beredar dari membunuh lebih ramai mangsa.

Dalam keadaan tegang pada waktu itu, beliau mengambil benda pertama yang dijumpainya untuk mengumpan pengganas iaitu sebuah mesin kad kredit dan berlari keluar sambil menjerit ‘‘Datang sini!”

Beliau dianggap wira kerana telah menyelamatkan ramai nyawa daripada terkorban ketika solat Jumaat di Masjid Linwood selepas mengejar pengganas bersenjata sebelum menakutkannya sehingga penyerang memecut menaiki kereta.

Namun Abdul Aziz, di mana empat anak lelakinya dan puluhan lain berada dalam masjid ketika beliau berdepan dengan pengganas itu berkata, tindakannya itu akan dilakukan oleh sesiapa pun.

Dalam insiden tembakan besar-besaran dalam sejarah New Zealand, pengganas bersenjata itu telah membunuh 50 orang selepas menyerang dua masjid.

Pengganas, Brenton Tarrant, 28, dipercayai membunuh 42 orang di Masjid Al Noor sebelum memandu sejaauh 5 kilometer ke Masjid Linwood dan membunuh tujuh lagi mangsa.

Gambar : ABC News

Pemangku imam Masjid Linwood, Latef Alabi berkata, angka kematian mungkin jauh lebih tinggi di masjid itu jika tidak kerana tindakan berani Abdul Aziz.

Latef berkata, beliau mendengar suara di luar masjid kira-kira jam 1.55 petang dan menghentikan solat yang diketuainya untuk meninjau di luar tingkap.

Ketika itu, beliau ternampak seorang lelaki berpakaian ala tentera dan topi keledar memegang senjata besar dan menganggapnya pegawai polis. Kemudian, beliau melihat dua mayat bergelimpangan dan mendengar penyerang menjerit kata-kata hinaan.

”Saya sedar terdapat sesuatu yang tidak kena. Ini adalah pembunuh,” katanya.

Panik dengan apa yang berlaku, beliau menjerit ke arah lebih 80 jemaah masjid supaya tunduk namun mereka teragak-agak. Kemudian, satu tembakan kedengaran, tingkap pecah bersama mayat jatuh.

”Saudara ini kemudiannya datang. Beliau mengejarnya dan berupaya mengalahkannya, dan kerana itulah kami semua diselamatkan.”

Kalau tidak, jika penyerang berjaya masuk ke dalam masjid, kami semua kini mungkin sudah tiada lagi,”  kata Latef merujuk kepada Abdul Aziz.

Abdul Aziz berkata, ketika beliau lari keluar sambil menjerit, beliau berharap dapat mengalihkan perhatian penyerang. Tetapi, pengganas dilihat berlari semula ke kereta untuk mendapatkan satu lagi senapang, dan ketika itulah beliau membaling mesin kad kredit ke arahnya.

Ketika itu katanya, beliau dapat mendengar dua anak lelakinya berusia 11 dan lima tahun, memintanya untuk kembali semula berada di dalam masjid.

Penyerang kembali dan melepaskan tembakan. Abdul Aziz berkata, beliau berusaha berlari di celah kenderaan supaya Tarrant tidak dapat menfokuskan tembakan dengan tepat ke arahnya.

Kemudian Abdul Aziz ternampak senjata yang ditinggalkan penyerang dan mengambilnya, menghalakannya ke arah penyerang, memetik picu namun ianya kosong.

Katanya, penyerang dilihat kembali semula ke kenderaan buat kali kedua, mungkin kerana ingin mengambil satu lagi senjata.

”Dia masuk ke dalam kereta dan saya baru mendapat senjata, saya membalingnya ke arah tingkap kereta itu seperti panah dan tingkap terus pecah. Disebabkan itu, penyerang berasa takut,” kata Abdul Aziz.

Penyerang katanya melemparkan kata-kata hinaan dan menjerit bahawa dia akan membunuh mereka semua sebelum memecut kenderaan pergi. Beliau sempat mengejarnya namun gagal.

Video dalam talian menunjukkan pegawai polis berjaya memaksa kenderaan dinaiki pengganas berhenti dan menyeret suspek keluar tidak lama kemudian.

Berasal dari Kabul, Afghanistan, Abdul Aziz berkata, beliau meninggalkan negara itu ketika masih kanak-kanak dan tinggal lebih 25 tahun di Australia sebelum berpindah ke New Zealand beberapa tahun lalu.

Abdul Aziz berkata, beliau tidak merasa takut ketika berdepan penyerang kerana beliau percaya Allah tidak menentukan bahawa beliau akan mati ketika itu.

Sumber : ABC News

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *