KOTA KINABALU: Jalan Sapulut – Kalabakan yang siap dinaik taraf pada tahun 2015, tidak dibina untuk menampung beban kenderaan berat mengangkut balak yang biasanya membawa lebih muatan.
Difahamkan, pembinaan jalan raya sepanjang 145 kilometer itu hanya direka bentuk untuk kegunaan kenderaan biasa dengan jangka hayat ketahanan selama 10 tahun yang bermakna jalan raya itu sepatutnya mampu bertahan hingga tahun 2025 jika tidak digunakan lori balak.
Bagaimanapun, disebabkan ancaman lori balak, jalan raya itu sudah rosak teruk selepas dua tahun dan kini selepas tiga tahun siap dinaik taraf, ia dianggap sudah mencapai jangka hayat dan perlu dibina semula.
Sumber memberitahu BH, ketika mula dinaik taraf pada tahun 2011, ancaman lori balak sudah disedari, namun perkara itu tidak diambil kira menyebabkan laluan baharu yang menjadi penghubung kedua di antara pantai timur dan pantai barat Sabah itu sudah mula rosak ketika diserahkan pemaju kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) pada tahun 2015 dan 2016.
“Semua sedia maklum bahawa laluan ini sebelumnya adalah jalan balak dan kerajaan mengambil inisiatif untuk menaik tarafnya sebagai laluan kedua menghubungkan Tawau dengan Kota Kinabalu kerana jaraknya lebih dekat,” katanya.
Difahamkan, Kementerian Kerja Raya pada masa itu pernah diminta untuk menimbangkan agar ketebalan asas dan aspal jalan raya berkenaan ditambah supaya lebih tahan menampung kenderaan berat, namun tidak diluluskan.
Sementara itu, JKR mengakui, jalan raya itu kini memerlukan pembinaan semula untuk memastikan pengguna lebih selesa menggunakannya dengan kira-kira RM600 juta diperlukan untuk tujuan itu.
Pengarah JKR Sabah, Richard Jomiji Kinsil, berkata aktiviti lori balak yang membawa muatan melebihi had dibenarkan, menyebabkan kerosakan yang teruk dalam tempoh kurang dua tahun selepas kerja menaik taraf siap dan ujian pada 2017 mendapati jalan raya itu sudah mencapai jangka hayatnya dan memerlukan pembaikan secara menyeluruh.
“Jangka hayat jalan raya itu berkurangan dengan drastik disebabkan oleh aktiviti lori balak, berbanding jangkaan awal selama 10 tahun jika ia tidak digunakan lori balak,” katanya menjawab isu kerosakan teruk Jalan Sapulut – Kalabakan yang hangat dalam media sosial di negeri ini sejak tahun lalu.
Katanya, JKR akan menggunakan kaedah baharu dikenali sebagai penstabilan tanah atau `soil stabilization’ untuk membaik pulih kerosakan di sepanjang laluan itu dengan satu projek perintis bernilai RM6 juta sedang dilaksanakan di satu bahagian jalan raya sepanjang kira-kira dua kilometer.
Beliau berkata, reka bentuk kerja pembaikan menggunakan kaedah itu sudah mengambil kira beban lori balak yang menjadi punca kerosakan teruk laluan berkenaan selain faktor ketidakstabilan akibat pergerakan tanah.
Mengulas lanjut, beliau berkata JKR Sabah sudah mengambil beberapa tindakan untuk menangani kerosakan jalan raya berkenaan termasuk menurunkan taraf bahagian yang mengalami kerosakan teruk kepada jalan gravel atau batu kerikil.
“Sepanjang 13 kilometer sudah diturun taraf kepada jalan gravel bagi memudahkan penyelenggaraan di lokasi terbabit. Penyelenggaraan jalan gravel ini dilakukan secara berterusan. Sehingga kini, sebanyak RM40 juta sudah dibelanjakan untuk menyelenggara jalan raya berkenaan, tidak termasuk kerja pembaikan,” katanya.
Pembinaan jalan raya itu dibiayai kerajaan Pusat melalui dua fasa dengan kos hampir RM1 bilion, iaitu RM636 juta membina laluan gravel dari tahun 2004 hingga 2008 dalam fasa satu dan RM270 juta bagi menaik taraf kepada jalan berturap dalam fasa dua (2011 hingga 2015).
Walaupun pembinaannya dibiayai kerajaan persekutuan, jalan raya berkenaan masih berstatus jalan negeri. – Berita Harian