Mati dalam dakapan ibu

ELIZABETH berjalan kaki sambil mendukung mayat anak perempuannya menuju ke rumah mayat. -Foto Agensi

CARACAS: Seorang ibu mendukung anaknya yang mati akibat penyakit dihidapnya, selepas dua hospital di Venezuela enggan merawat gadis itu kerana tiada bekalan elektrik sekali gus menunjukkan betapa buruknya krisis tenaga yang melanda negara itu.

Elizabeth Diaz yang kecewa kemudiannya terpaksa berjalan kaki sambil mendukung mayat anak perempuannya menuju ke rumah mayat.

Video dan gambar menunjukkan Elizabeth mendukung mayat anaknya yang berusia 19 tahun tular di media sosial. Remaja itu mengalami palsi serebrum dan mengalami kekurangan nutrisi yang kronik.

Elizabeth memberitahu, dia membawa anaknya ke hospital selepas gadis yang hanya seberat 10 kilogram itu mengalami kekejangan dan keadaan semakin buruk, lapor Daily Mail.

Media tempatan melaporkan, Elizabeth mendukung anaknya ke hospital di Valencia untuk mendapatkan rawatan pada lewat Sabtu lalu tetapi pusat kesihatan itu ditutup kerana tiada bekalan elektrik. Susulan itu, dia dinasihatkan pergi ke hospital di Las Lomas, namun malangnya turut tidak dibenarkan masuk kerana ketiadaan elektrik.

Tidak lama kemudian anak Elizabeth menghembus nafas terakhir dalam dakapannya.

The Guardian melaporkan, 21 orang termasuk enam bayi maut sejak krisis bekalan elektrik itu malah jumlah berkenaan dijangka meningkat. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *