12 penagih ditahan di Kota Belud

ANTARA penagih ditahan polis dalam serbuan Ops Sarang siri ketiga di Kota Belud. – Foto ihsan polis

KOTA BELUD: Seramai 12 penagih dadah ditahan polis dalam serbuan Ops Sarang siri ketiga di dua kawasan ‘panas’ di daerah ini, hari ini.

Dalam serbuan yang bermula jam 5 pagi itu, semua penagih lelaki berkenaan didapati positif dadah jenis syabu selepas menjalani ujian saringan air kencing.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Mohd Zaidi Abdullah, berkata operasi dijalankan oleh 43 anggota dan lima pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.

Katanya, dalam serbuan yang dijalankan di Kampung Gusi dan Kampung Kuala Abai itu, polis berjaya menahan 21 lelaki yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Daripada jumlah yang ditahan, 12 individu warga tempatan berusia lingkungan 17 hingga 50 tahun didapati positif dadah.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah jenis syabu dengan berat kasar 3.0 gram yang dianggarkan bernilai RM450 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dihubungi hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya akan terus melakukan serbuan dari semasa ke semasa dalam usaha menangani penagihan dadah.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan kepada polis untuk tindakan segera. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *