Pos bomba atas air pertama di Semporna

MOHD Hamdan Wahid menyematkan pingat kepada anggotanya ketika hadir di Majlis Penganugerahan Pingat Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 JBPM Sabah di Kota Kinabalu. – Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Pos bomba pertama di atas air bagi menangani isu kesukaran operasi bomba di kawasan penempatan atas air di negeri ini akan dimulakan di Semporna dan dijangka beroperasi pertengahan tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohd Hamdan Wahid, berkata pos itu akan dikendalikan beberapa anggota tetap dengan dilengkapi tiga bot sebagai aset operasi.

Beliau berkata, bot terbabit masing-masing digunakan untuk operasi memadam kebakaran, mencari dan menyelamat (SAR) dan sebagai Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) atau ambulans air.

“Hari ini saya mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Jaujan Sambakong berhubung pembukaan pos bomba di kampung air.

“Projek pertama kita akan buka sebuah pos bomba dekat jeti pelancongan di Semporna dan ia akan disusuli pembinaan pos bomba di Pulau Bum-Bum dengan kerjasama kerajaan negeri, khususnya penyediaan tapak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 JBPM Sabah yang turut dihadiri Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah, di sini, hari ini.

Mohd Hamdan berkata, penubuhan pos bomba di penempatan atas air di negeri ini adalah berikutan peningkatan kes kebakaran di kawasan berkenaan.

Selain pos bomba, katanya, JBPM mengkaji cadangan menyediakan sistem pili bomba di kawasan penempatan atas air menggunakan air laut yang dipam selain menubuhkan pasukan bomba sukarela.

“Bagi pasukan bomba sukarela, kita mahu penubuhannya kali ini dibuat secara formal iaitu mendaftarkannya di bawah kementerian dan JBPM berbanding dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum ini.

“Anggotanya akan diberi latihan dan kemudahan seperti pakaian seragam, pakaian memadam kebakaran serta elaun dan perlindungan insurans. Mereka akan membantu bomba sebagai orang pertama di lokasi kebakaran atau bencana,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, 298 balai bomba di seluruh negara diletakkan dalam keadaan bersiap sedia menghadapi bencana kebakaran terutama membabitkan kawasan hutan dan belukar sepanjang musim panas dan kering yang diramal berlaku hingga akhir April ini.

“Sebanyak 16 Pusat Gerakan Operasi JBPM di seluruh negara juga digerakkan untuk mengambil tindakan segera terhadap setiap laporan mengenai kebakaran termasuk yang kecil sebagai langkah segera mengekang kebakaran menjadi lebih besar,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *