MA63: Akta lain juga perlu dipinda

AKTIVIS Sosial dan Hak Asasi Manusia Sabah, Datuk Patrick Sindu.

KOTA KINABALU: Pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung perlu disusuli pindaan akta lain yang berkaitan kepentingan kedua-dua negeri.

Aktivis Sosial dan Hak Asasi Manusia Sabah, Datuk Patrick Sindu, berkata ia termasuk perkara yang berkaitan dengan minyak dan gas atau sumber asli lain serta kedudukan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata, pindaan itu perlu kerana peruntukan akta sedia ada tidak lagi sah apabila pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan sudah dibuat memandangkan Sabah dan Sarawak sudah menjadi wilayah yang setaraf dengan Semenanjung.

“Jika pindaan itu akan mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), maka secara automatik kita ada kawalan terhadap sumber asli dan wilayah.

“Jadi, secara automatik juga undang-undang lain berkaitan kepentingan kita perlu dipinda. Ia mesti dilakukan tetapi kita sedar perkara ini memakan masa kerana pindaan terhadap Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan itu belum tentu selesai dalam tempoh terdekat,” katanya kepada BH, hari ini.

Patrick adalah antara individu yang banyak membangkitkan isu MA63 di negeri ini termasuk pernah menghasilkan buku mengenainya dan mengumpul tandatangan bagi mendapatkan sokongan untuk mengkaji semula perjanjian itu yang dihantar kepada kerajaan British.

Katanya, Akta Pembangunan Petroleum 1974 perlu dikaji semula selaras dengan pindaan perlembagaan itu, manakala Labuan yang diserahkan kepada kerajaan Pusat untuk dijadikan sebagai Wilayah Persekutuan pada tahun 1984 perlu dikembalikan kepada Sabah.

Beliau berkata, banyak perkara lagi yang perlu dikaji atau diubah semula jika pindaan perlembagaan itu diluluskan untuk menggambarkan keadaan sebenar kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama rata dengan Semenanjung.

“Pindaan itu bermakna kedudukan Sabah sebagai negeri ke-12 dan Sarawak sebagai negeri ke-13 dalam Malaysia ketika ini terbatal. Kita tidak boleh lagi disamakan dengan negeri yang ada di Semenanjung,” katanya.

Dalam hal berkaitan, kerajaan sepatutnya turut mempelawa wakil kerajaan British dalam perbincangan mengenai MA63 kerana ia adalah perjanjian antarabangsa yang membabitkan piihak terbabit.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong mengumumkan persetujuan kerajaan untuk membuat pindaan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung.

Perkara itu akan dibentangkan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Kerja Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mengenai hak sama rata Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung dalam sidang Dewan Rakyat yang bermula esok. – Berita Harian

388