Gambar pekerja asing makan nasi berkuahkan air mineral cetus rasa simpati terhadap nasib mereka

Kadangkala, kita mempunyai pandangan yang skeptikal mengenai kebanjiran pekerja asing di negara kita. Namun, salah satu perkara positif yang tidak dinafikan wujud dalam warga asing adalah kesungguhan mereka untuk mencari rezeki dan mengubah nasib keluarga di kampung halaman.

Baru-baru ini, tular sebuah foto mengenai seorang pekerja asing yang dikatakan hanya mampu menikmati menu makan tengah harinya iaitu sebungkus nasi putih bersama air botol sahaja.

Tanpa kuah, tanpa lauk, tanpa sayur-sayuran. Hanya nasi yang direndamkan bersama air mineral sahaja.

Kasihan sungguh…

Gambar tersebut telah dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter bernama @syahdan_94 dengan kapsyen:

“Terjumpa orang negara luar… Makan nasi dengan kuah air mineral sahaja.”

Penyebaran gambar berkenaan telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib pekerja asing tersebut. Malahan, netizen turut mengongsikan kisah peribadi masing-masing yang pernah berhadapan dengan situasi sama.

“Kita selalu rasa susah dan mahu mengalah tetapi rupanya ada orang yang jauh lebih susah dan mereka masih kelihatan gembira.”

“Mak pun pernah cerita dia pergi kedai makan dan melihat sekumpulan warga asing makan di kedai itu tetapi hanya makan nasi bersama kuah sahaja. Lauk langsung tidak diambil.”

“Bapa saya juga seorang kontraktor dan mempunyai pekerja asing. Selalunya mereka akan beli nasi pada waktu pagi dan simpan sebahagiannya untuk makan malam. Tetapi, lauk mereka cuma sambal belacan atau keropok sahaja. Kasihan. Segelintir mereka mempunyai ijazah tetapi tiada peluang pekerjaan di negara sendiri.”

Tidak kisahlah sama ada mereka warga asing atau tidak, mereka juga manusia biasa seperti kita yang bergelut demi meneruskan kehidupan. Tidak sampai hati rasanya melihat seseorang mampu makan nasi yang dicurahkan dengan air mineral demi memastikan dirinya kekal bertenaga dan boleh bekerja sepanjang hari.

Semoga insan-insan ini dikurniakan rezeki yang luas…

Sumber: World of BuzzArif/Twitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *