Pusat hiburan diserbu, 10 individu ditahan

SEBAHAGIAN pengunjung pusat hiburan berkenaan dikumpulkan untuk pemeriksaan.

KOTA KINABALU: Seramai 10 individu ditahan dalam serbuan Operasi Pusat Hiburan Bersepadu di sebuah premis pusat hiburan di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi berkenaan melibatkan Ops Noda, Cantas dan Tapis yang dijalankan kira-kira jam 3.05 pagi hari ini.

Menurutnya, empat orang yang ditahan termasuk seorang lelaki dan tiga wanita didapati positif dadah.

“Kesemuanya berumur dalam lingkungan 28 hingga 39 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Dua lelaki tempatan berumur 34 dan 39 tahun yang mengaku sebagai pengurus dan pemain DJ turut ditahan bersama rampasan peralatan muzik kerana beroperasi melebihi masa.

“Empat lagi tangkapan wanita berumur dalam lingkungan 21 hingga 36 tahun termasuk tiga warga asing dipercayai bekerja sebagai pelayan wanita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga wanita terbabit disyaki bekerja tanpa permit yang sah dan seorang lagi tangkapan dipercayai pengurus pelayan wanita (Mummy) dipercayai menggaji warga asing tanpa permit yang sah.

Habibi berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam 1958, Seksyen 55B Akta Imigresen1959/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 39 (B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Pusat hiburan berkenaan didapati beroperasi melebihi masa dan dalam operasi itu, seramai 33 individu turut diperiksa termasuk 10 lelaki dan 23 wanita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *