Empat pemandu mabuk ditahan dalam Ops Mabuk

Anggota polis melakukan sekatan jalan ketika Ops Mabuk berkenaan. Gambar hsan Polis

KOTA KINABALU: Seramai empat pemandu mabuk ditahan dalam Ops Mabuk yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaa Trafik Daerah (BSPTD) di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kesemua tangkapan adalah warga tempatan berumur dalam lingkungan 32 hingga 57 tahun.

Katanya, keempat-empat pemandu terbabit didapati melebihi paras alkohol dalam darah semasa menjalani pemeriksaan.

Menurutnya, siasatan boleh dijalankan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan jika disabitkan kesalahan.

Beliau berkata, seramai 51 individu dan 41 kenderaan diperiksa sepanjang operasi yang dijalankan dalam satu sekatan jalan di sini bermula jam 1 hingga 5 pagi Ahad.

“Sebanyak lapan keping saman pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam operasi ini termasuk tiga saman tiada lesen memandu.

“Penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pemandu-pemandu mematuhi peraturan dan undang-undang lalu-lintas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Habibi berkata, operasi berkenaan turut membantu menangani kes individu memandu di bawah pengaruh alkohol. – Utusan Borneo

Anggota polis melakukan sekatan jalan ketika Ops Mabuk berkenaan. Gambar hsan Polis
272