Minyak sawit mentah tumpah

Kira-kira 2.5 tan minyak dilaporkan tumpah dari kilang di Batu Sapi, di Sandakan. FOTO Ihsan APM Sandakan

KAWASAN penempatan atas air di Kampung Air, Batu Sapi, dekat Sandakan, dipenuhi minyak sawit mentah susulan tumpahan minyak dari kilang, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 12 tengah hari apabila sekurang-kurangnya 2.5 tan metrik minyak sawit mentah tumpah ketika proses pemindahan dilakukan di kilang berhampiran.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata, minyak sawit mentah hanyut ke perkampungan atas air itu sebelum usaha diambil pihak syarikat bersama penduduk kampung untuk mengeluarkan minyak dari permukaan laut secara manual.

“Tiada keperluan untuk mengaktifkan pusat kawalan operasi memandangkan pihak syarikat bertanggungjawab boleh mengawal minyak daripada merebak.

“Kes pencemaran berkenaan selesai ditangani petang hari yang sama,” katanya, di sini, hari ini.

Difahamkan, ia kejadian pertama minyak sawit mentah tumpah di perairan berhampiran kampung berkenaan. – Harian Metro

PENDUDUK mengeluarkan minyak sawit mentah dari permukaan laut secara manual selepas kira-kira 2.5 tan minyak dilaporkan tumpah dari kilang di Batu Sapi, di Sandakan. FOTO Ihsan APM Sandakan
PENDUDUK mengeluarkan minyak sawit mentah dari permukaan laut secara manual selepas kira-kira 2.5 tan minyak dilaporkan tumpah dari kilang di Batu Sapi, di Sandakan. FOTO Ihsan APM Sandakan

471