Kejamnya ibu

GAMBAR HIASAN

LONDON: Seorang ibu dipenjara 11 tahun kerana memotong alat sulit anak perempuannya berusia tiga tahun dalam kes pertama seumpamanya di Britain.

Dalam penghakimannya, Hakim Philippa Whipple menyelar perbuatan wanita berasal dari Uganda itu sebagai menjijikkan, terutama memandangkan ia dilakukan di dalam rumah yang sepatutnya menjadi tempat selamat untuk mangsa.

“Sebagai ibunya, kamu mengkhianati kepercayaannya terhadap kamu yang sepatutnya menjadi pelindung. Kesan psikologi terhadap mangsa pasti berpanjangan.

“Saya mahu tekankan, mutilasi kelamin wanita (FGM) adalah sejenis penderaan kanak-kanak. Ia amalan yang tidak bertamadun selain jenayah serius,” katanya.

FGM lazim diamalkan masyarakat di Afrika dan diharamkan di Britain, 30 tahun lalu. Hukuman maksimum baginya adalah 14 tahun.

Wanita berusia 37 tahun yang tidak boleh dinamakan untuk melindungi mangsa itu turut dipenjara dua tahun selepas mengaku mengedarkan video berbentuk porno, termasuk membabitkan kanak-kanak.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, wanita itu dan suaminya mengejarkan anak mereka ke hospital pada 28 Ogos 2017 dengan mangsa mengalami pendarahan teruk. Doktor menemui tiga kesan potongan terhadap kelamin kanak-kanak.

Ibu terbabit mendakwa anaknya cedera selepas terjatuh dari meja di dapur mereka. Dia juga menafikan masyarakatnya mengamalkan FGM.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu memberitahu polis dia dikelar seorang ‘nenek kebayan.’

Empat doktor termasuk pakar FGM dalam keterangan mereka berkata, kesan kecederaan hanya boleh terjadi akibat dipotong objek tajam.

Selain itu, mahkamah turut diberitahu ibu terbabit cuba menggunakan ilmu hitam untuk ‘mendiamkan’ pendakwa serta penyiasat, apabila polis menemui lidah lembu yang dicucuk paku, selain limau disumbatkan nama pihak yang terbabit dalam kes itu bersertakan nota ‘aku kunci mulut kamu.’ – Reuters

138