Sabah mahu hasil pelancongan sama rata

MOHAMMADIN (tengah), Christina dan delegasi Malaysia ketika pelancaran Malaysia Pavilion sempena ITB 2019.

BERLIN: Sabah berhasrat mendapatkan pembahagian hasil pelancongan secara sama rata dengan menembusi pasaran pelancongan Eropah yang belum diterokai.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, seiring dengan hasrat itu, pihaknya menyertai Pelancongan Antarabangsa Berlin (ITB) di Jerman bagi mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Menurutnya, promosi yang dijalankan melibatkan sesi jaringan perniagaan bersama pemain, pengendali dan ejen pelancongan dari Jerman serta negara lain.

Katanya, ITB adalah program mengenai pelancongan antarabangsa dan industri pelancongan global.

“Tahun ini, Malaysia menjadi negara rakan kongsi rasmi ITB iaitu peneraju pameran perdagangan terkemuka di dunia,” katanya ketika menghadiri upacara pembukaan rasmi ITB 2019 di City Cube di sini pada Selasa.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar mengetuai delegasi seramai 13 anggota termasuk dari Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan enam penari kebudayaan dari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).

Christina berkata, pameran perdagangan selama empat hari itu melibatkan pameran dari rantau Asia Pasifik.

Pihaknya turut berharap jumlah kedatangan pelancong dari Jerman ke Sabah akan meningkat tahun ini sekurang-kurangnya 10,000 pelancong atau lebih.

Ketika ditanya kenapa memilih negara Jerman? Beliau menjelaskan, Jerman adalah pendahulu bagi pelancongan dunia yang lebih banyak berbelanja dalam sektor pelancongan asing berbanding negara lain.

Pada masa sama katanya, Jerman juga pintu masuk ke negara Eropah yang lain.

Bagi memasuki pasaran pelancongan Jerman dan negara Eropah lain, Christina mempertaruhkan keindahan alam semula jadi Sabah, hidupan liar yang unik, kekayaan budaya etnik, serta keenakan makanan laut segar yang terdapat di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan pelancong Jerman dan Eropah untuk datang dan melihat sendiri keindahan negeri Sabah.

Selain itu, katanya, para pelancong juga boleh menyaksikan pemuliharaan hidupan liar dan pelancongan alam semula jadi, eksplorasi kawasan baharu untuk melihat hidupan liar seperti gajah pygmy Borneo dan orang utan.

Sempena ITB, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohammadin Ketapi merasmikan pembukaan gerai pameran Malaysia Pavilion pada Rabu. – Utusan Borneo

196