Anwar isytihar aset RM10.74j

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengisytiharkan nilai keseluruhan aset miliknya adalah sebanyak RM10.74 juta.

Ahli Parlimen Port Dickson itu sudah menghantar perisytiharan harta berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagaimana yang diminta kerajaan untuk semua anggota Kabinet dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Perisytiharan itu termasuk anggaran nilai semasa rumah milik beliau di Bukit Segambut sebanyak RM9.5 juta yang pada mulanya dibeli pada harga RM4.5 juta hasil daripada jualan rumah di Bukit Damansara pada 2005.

“Turut diisytiharkan adalah sebidang tanah di Permatang Habib, Mukim Penor, Kuantan, Pahang yang dibeli pada tahun 1974 dengan harga RM7,000. Nilai anggaran tanah itu kini ialah RM420,000.

“Harta selebihnya adalah daripada akaun-akaun pelaburan dan wang simpanan yang berjumlah RM828,658.83.

“Justeru dengan ini dimuktamadkan bahawa jumlah harta milik Anwar adalah bernilai RM10,748,658.83,” kata Setiausaha Sulit beliau, Shukri Saad, dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini mewajibkan, semua anggota Kabinet dan Ahli Parlimen termasuk isteri dan anak mereka untuk membuat perisytiharan harta selepas membentuk kerajaan, tahun lalu.

Dokumen perisytiharan harta itu perlu diserahkan kepada SPRM untuk dipaparkan dalam sebuah portal khas, MyDeclaration yang diwujudkan untuk tatapan umum.

Sementara itu, tinjauan BH pada portal berkenaan mendapati, nama dan nilai aset milik Anwar masih belum tersenarai dan ia berkemungkinan masih belum dikemaskini oleh SPRM.

Semakan di portal itu juga mendapati seramai lapan Ahli Parlimen masih tidak membuat perisytiharan harta manakala 10 anggota pentadbiran dipercayai Setiausaha Politik juga masih tidak berbuat demikian.

Menduduki senarai teratas yang mempunyai nilai aset tertinggi adalah Ahli Parlimen Segamat, Datuk Dr R Santhara Kumar (RM132.1 juta), diikuti Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham (RM77.0 juta); Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (RM32.3 juta); Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (RM25.1 juta) dan Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (RM23.0 juta).

Senarai teratas bagi pendapatan bulanan tertinggi pula didahului oleh Mukhriz (RM105,641.76); Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming (RM101,160); Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (RM91,150); Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (RM86,464,92) dan dan Menteri Kerja Raya, Baru Bian (RM83,736.48). – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *