Bunuh isteri disangka curang

ANGGOTA forensik memeriksa rumah di mana mayat Geraldine dan anaknya ditemui. – AgensiAgensi

LONDON: Seorang lelaki membunuh diri dengan terjun ke dalam gaung di Wales, Britain, akibat tidak dapat menanggung rasa bersalah selepas membunuh isteri dan dua anak kerana tersilap menyangka isterinya curang.

Lelaki itu, Paul Newman, 42, menghentak isterinya, Geraldine, 51, dengan tukul hingga mati sebelum membunuh dua anak mereka Shannon, 11, dan Shane, 6, kerana menyangka wanita itu mempunyai hubungan sulit.

Kelmarin, Mahkamah Koroner Wakefield diberitahu, mayat Geraldine dan dua anak mereka ditemui di kediaman pasangan itu di Leeds pada 2 Februari 2016 manakala mayat Newman ditemui di kaki bukit di Wales pada hari sama.

Menurut Daily Mail, Newman menaiki kereta api untuk perjalanan sejauh hampir 290 kilometer dari Leeds ke Isle of Anglesey di Wales iaitu tempat dia melamar Geraldine 17 tahun lalu, sebelum membunuh diri di situ.

Mahkamah diberitahu, Newman menghentak kepala isterinya dengan tukul sekurang-kurangnya tiga kali manakala Shannon dan Shane ditikam di dada serta leher sebanyak 22 kali.

Beberapa minggu sebelum kejadian, Geraldine yang ketika itu sudah tinggal berasingan dengan Newman namun tidak bercerai, memberitahu seorang anggota keluarga suaminya bahawa dia berasa amat takut.

Bekas detektif yang menyiasat kes itu, Paul Johnston berkata, Newman menyangka isterinya tinggal berasingan kerana ada hubungan dengan lelaki lain.

“Namun, siasatan mendapati rasa syak si suami tidak berasas,” katanya.

Newman pernah dipenjara 17 minggu pada Oktober 2013 kerana memukul Geraldine selepas terbaca pesanan teks daripada lelaki di telefon isterinya.

Selepas keluar penjara, Geraldine membenarkannya pulang ke rumah namun menghalaunya pada Disember 2015.

Richard Smith dari Polis Yorkshire Barat berkata: “Pasangan itu sebenarnya menghadapi masalah dalam hubungan mereka dan memerlukan bantuan profesional.”

Dalam keputusannya, Koroner Kevin McLoughlin berkata: “Tiada siapa menjangka perkara ini akan berlaku kerana tiada ancaman jelas.

“Suspek individu yang berasa dirinya terasing, terpisah daripada anak-anak.” – Agensi

188