Anita Baranting Sertai Warisan, Pemimpin PBS Pertama Keluar Parti

Anita (duduk kanan) membuat pengumuman masuk ke dalam Warisan hari ini. Gambar Ihsan JKM

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tandek Datuk Anita Baranting menjadi Adun Parti Bersatu Sabah (PBS) pertama yang meninggalkan parti itu bagi menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan), di sini pada Rabu.

Anita yang memenangi kerusi DUN Tandek di bawah tiket Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah Adun BN ke lapan yang meninggalkan BN untuk menyertai Warisan.

Penyertaan Anita ke dalam Warisan membolehkan parti kerajaan dibawah pimpinan Warisan dengan PKR, DAP dan Upko kini memiliki 47 kerusi termasuk lima Adun dilantik.

Anita telah menjadi Adun Tandek selama dua penggal dan kini merupakan Timbalan Ketua Bahagian PBS Tandek serta Ketua Wanita PBS sejak enam tahun lalu.

Dengan penyertaannya ke dalam Warisan, Anita mengumumkan meletakkan semua jawatannya dalam PBS berkuatkuasa serta merta.

Anita menyertai PBS sejak PBS ditubuhkan pada 34 tahun lalu.

PBS baru sahaja menyambut ulang tahun penubuhannya pada Selasa. – BorneoToday

Anita menyerahkan borang permohonan keahlian Parti Warisan Sabah kepada Shafie. Gambar Ihsan JKM
111