PKR Sabah hormat keputusan Osman sertai Warisan

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menghormati keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung Datuk Osman Jamal untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew berkata, perkara paling penting adalah Osman telah membuat keputusan mengenai parti mana yang ingin disertai.

“Kami menghormati keputusan terbaharu beliau, yang penting itu adalah keputusan beliau sendiri. Apa juga sebab yang diberikan beliau kini sudah tidak relevan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Osman dikaitkan dengan PKR Sabah selepas meninggalkan Umno pada tahun lalu.

Ketika ditemui pemberita pada Isnin selepas menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Osman menjelaskan beliau memohon untuk menyertai PKR Sabah pada Mei tahun lalu.

“Ya, saya ada memohon untuk menyertai PKR pada tahun lalu tetapi hanya pada 24 Februari lalu saya dimaklumkan bahawa permohonan saya itu telah diluluskan.

“Pada ketika itu, saya sudah bersetuju untuk menyertai Warisan dan memberitahu mereka bahawa ia sudah terlambat,” katanya kepada pemberita sambil menambah, status beliau sepanjang sembilan bulan sebelum ini adalah sebagai Adun Bebas.

Christina ditanya sama ada keputusan Osman itu akan menjejaskan hubungan di antara PKR Sabah dan Warisan.

“Tidak, keputusan itu tidak menjejaskan hubungan Warisan dan PKR di Sabah. Kita kini memberikan tumpuan sepenuhnya membantu Shafie sebagai Ketua Menteri untuk membangunkan Sabah selain bekerjasama dengan Warisan seperti seorang rakan.

“Kita kini mempunyai Ketua Menteri yang terbaik dan kita akan bekerja keras di bawah kepimpinan beliau.

“Sudah tiba masanya kita bergerak ke hadapan dan tidak lagi berpolitik,” katanya. – Utusan Borneo

233