Maritim Sandakan tahan 22 individu dipercayai cuba masuk ke Filipina secara tidak sah

SANDAKAN, 5 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Sandakan menahan 22 individu termasuk dua kanak-kanak yang cuba meninggalkan negara secara tidak sah menerusi perairan Sandakan, dipercayai menuju Filipina, malam tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritin Zon Sandakan Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata dalam insiden pukul 9.45 malam itu, sebuah bot nelayan dikesan oleh bot ronda Maritim dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.1 batu nautika dari barat Pulau Berhala atau kira-kira 1.2 batu nautika dari jeti Maritim Sandakan di sini.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati bot itu membawa 13 lelaki dan tujuh wanita berumur antara 14 dan 65 tahun, termasuk seorang remaja lelaki berumur 14 tahun yang mengalami sindrom Down, serta seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan masing-masing berumur tiga dan setahun. 

Menurutnya empat daripada mereka yang ditahan memiliki kad pengenalan Malaysia, satu memliki kad pemastautin tetap, dua memiliki sijil lahir dan seorang memiliki dokumen IMM13, manakala selebihnya gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

“Juragan bot itu dipercayai melarikan diri apabila menyedari bot ronda Maritim menghampirinya,” katanya pada sidang akhbar mengenai kes berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata bot nelayan itu ditarik ke jeti Maritim Sandakan dan siasatan mendapati bot itu berdaftar dengan Jabatan Perikanan Sabah, dan menurutnya Kes sedang disiasat mengikut bawah Akta Imigresen 1963.

— BERNAMA

125