Ops Sarang gempur ‘port’ dadah di Telipok Dan Manggatal

Antara yang ditahan dan menjalani ujian saringan air kencing. – Gambar Ihsan PDRM

SERAMAI 17 individu termasuk seorang wanita diberkas dalam operasi khas Ops Sarang yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sekitar Manggatal serta Telipok, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, seramai 35 individu termasuk empat wanita diperiksa dalam operasi yang dijalankan di kawasan Skim Penempatan Telipok serta Kampung Tebobon, Manggatal bermula 12.30 tengah hari hingga jam 6 petang.

“Daripada 35 yang diperiksa ini, seramai 17 individu ditahan dengan 11 daripadanya disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala enam lagi termasuk seorang wanita disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/6.

“Semua yang ditahan berusia antara 17 hingga 55 tahun daripada jumlah itu juga, 13 orang adalah warga asing,” katanya dalam kenyataan, di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Habibi berkata, seramai lima pegawai bersama 35 anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu terbabit dalam operasi itu.

“Ops Sarang dilakukan berdasarkan risikan dan maklumat orang awam berhubung lokasi yang menjadi sarang penagih.

“Selain itu, ia juga bertujuan mengenalpasti serta mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan terbabit,” katanya.

Habibi berkata, secara keseluruhan, Ops Sarang berjalan lancar dan usaha membanteras pengedaran serta penagihan dadah di sekitar Kota Kinabalu akan terus diperhebatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan serta ketenteraman bandar raya ini. – Harian Metro

Antara yang ditahan dan menjalani ujian saringan air kencing. – Gambar Ihsan PDRM
Anggota polis menjalankan ujian air kencing kepada individu yang ditahan dalam Ops Sarang. – Gambar Ihsan PDRM
Gambar Ihsan PDRM
Gambar Ihsan PDRM
Gambar Ihsan PDRM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *