KOTA KINABALU: Tambadau Sabah mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Perdana apabila menewaskan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 3-1 di Stadium Likas di sini malam tadi.
Penyerang dari Brazil Luiz Carlos Junior menjadi wira Sabah dengan dua jaringan menarik, setiap satu pada babak pertama dan kedua.
Corak permainan Sabah begitu menarik sekali dan tidak keterlaluan dikatakan gawang PDRM hampir bolos setiap kali Sabah membuat serangan.
Peluang pertama Sabah muncul seawal minit ke-empat apabila pemain sayap kanan Maxsius Musa dijatuhkan di luar kotak penalti PDRM.
Tampil mengambil sepakan ialah Junior yang kali ini diturunkan setelah direhatkan dalam perlawanan Sabah menentang Sarawak di Kuching minggu lalu.
Dan Junior tidak menghampakan apabila tendangan lencong kaki kirinya berjaya mengelirukan benteng pertahanan dan penjaga gawang Polis Willfred Anak Jabun untuk gol pembukaan Sabah.
Gol itu menyuntik semangat skuad Tambadau menjadikan perlawanan bertambah rancak dan pada minit ke-lapan Junior hampir menjaringkan gol kedua namun bola hasil tendangan libasnya yang menuju ke gawang terkena badan pertahanan PDRM dan keluar untuk tendangan sudut.
Pada minit ke-19, sekali lagi sayap kanan lincah Sabah, Maxsius dijatuhkan di luar kotak penalti PDRM.
Junior seakan mahu menendang bola namun membiarkan pemain tengah Luka Milunovic mengambil sepakan namun kali ini berjaya diselamatkan oleh Willfred.
PDRM hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-28 melalui tendangan percuma ketua pasukan Shahurain Abu Samah tetapi tendangan kencangnya menuju ke penjuru atas sebelah kiri gol Sabah berjaya ditangkis oleh penjaga gawang Rozaimie Rohim.
Gol kedua yang dinanti-nantikan penyokong Sabah hadir pada minit ke-42 apabila Maxsius akhirnya berjaya melepaskan diri daripada pertahanan PDRM untuk membuat hantaran lintang dari sebelah kanan yang disambar dengan cantik oleh Rodoljub Paunovic menewaskan Willfred Anak Jabun.
Skuad Tambadau memulakan babak kedua dengan garang dan berjaya menambah jaringan melalui gandingan Paunovic dan Junior hanya dua minit selepas ianya dimulakan.
Pertahanan PDRM tidak mampu berbuat apa-apa bila Paunovic meluru mendapatkan bola di sebelah kiri padang sebelum membuat hantaran leret tepat kepada Junior yang hanya perlu menguis bola untuk menewaskan penjaga gol PDRM.
Kedudukan 3-0 kekal sehinggalah minit ke-52 apabila tendangan percuma yang diambil oleh ketua pasukan, Shahurain berjaya menemui pemain pertahanan PDRM Redzouic Argzim untuk menewaskan Rozaimie dengan mudah dan menjaringkan gol pertama mereka.
Ketinggalan 3-1, PDRM berusaha menambah jaringan dan mereka hampir mendapatkannya pada minit ke-69 namun sekali lagi Rozaimie bertindak cemerlang menyelamatkan tandukan berbahaya Shahurain.
Gandingan pertahanan Sabah yang diketuai Ketua Pasukan Rawilson Batuil bersama Taesu Park, Dendy Lowa dan Randy Baruh @ Samson berjaya mengekang kemaraan PDRM terutama penyerang tinggi lampai, Patrick Ronaldinho Wleh.
Dengan baki 10 minit permainan, Ketua Jurulatih Sabah, Jelius Ating mengeluarkan Junior dan menggantikan dengan Mafry Balang.
Beberapa minit kemudian, Maxsius yang tercedera dalam kotak penalti sendiri turut dikeluarkan dan diganti oleh Justin Samaan.
Ini dilihat sebagai taktik berhati-hati oleh Jelius melindungi barisan penyerangnya daripada mengalami kecederaan.
Kedudukan 3-1 kekal sehingga wisel penamat ditiup oleh pengadil perlawanan Muhd Faiz Jamaludin.-SabahNewsToday
Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/tambadau-catat-kemenangan-ketiga-berturut-turut/