Operasi SAR bot terbalik diteruskan

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid (kiri) dan Ketua Bahagian Operasi dan Peperangan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Komander Jamhari Katimin ketika sidang media mengenai bot pancung yang karam di perairan berhampiran Pulau Nunuyan. – Foto Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian bot terbalik di perairan berhampiran Pulau Nunuyan Laut, dekat sini, Khamis lalu diteruskan pagi ini.

Operasi itu membabitkan sembilan aset daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid, berkata operasi diteruskan bermula jam 7 pagi ini di kawasan meliputi seluas 187 batu nautika persegi.

“Operasi mencari dan menyelamat ketika ini cuma membabitkan pencarian di atas permukaan air.

“Tumpuan operasi merangkumi sekitar 187 batu nautika persegi yang dipecahkan kepada enam sektor, ” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Pelan menunjukkan lokasi bot karam yang menyebabkan seorang kanak-kanak lemas, manakala lima lagi masih hilang selepas bot dinaiki mereka dilambung ombak di perairan berhampiran Pulau Nunuyan. – Foto Poliana Ronnie Sidom
Bot yang digunakan 11 warga Filipina ditarik ke pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sandakan. – Foto ihsan APMM Sandakan

BH semalam melaporkan mayat seorang kanak-kanak ditemui, lima masih hilang, manakala lima lagi selamat selepas bot pancung membawa 11 penumpang terbalik akibat dilambung ombak di perairan kira-kira lima batu nautika dari Pulau Nunuyan Laut.

Semua mangsa dipercayai warga Filipina dilaporkan dalam pelayaran dari Pulau Taganak, Filipina menuju ke daerah ini sebelum bot mereka terbalik menyebabkan semua mangsa tercampak kira-kira jam 6 petang, Khamis lalu.

Lima yang selamat ditemui bot tempur CB 90H dari pangkalan TLDM Sandakan, tengah hari semalam selepas berpaut pada bot lebih 18 jam.

Lima yang masih hilang membabitkan dua lelaki termasuk tekong berusia 30 dan 38 tahun, seorang wanita berusia 42 tahun dan masing-masing seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan lelaki berusia setahun. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *