13 Individu Ditahan Dalam Ops Cegah AADK Daerah Papar

Ketua Operasi AADK Erwan Roslan menyoal siasat suspek yang ditahan dalam Op Cegah di Papar. – Gambar SNT / Ihsan AADK Sabah

PAPAR: Seramai 13 lelaki tempatan berusia antara 20 sehingga 51 tahun ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Beaufort dalam Ops Cegah di sekitar daerah ini, awal pagi semalam.

Turut ditahan dalam operasi selama lebih empat jam yang bermula pukul 1 pagi itu ialah tiga pasang adik-beradik di kediaman masing-masing yang terletak di Kampung Kawang, Buang Sayang dan Kampung Laut Papar.

Ketua Pegawai AADK Daerah Beaufort, Effanehwati Lakat berkata tangkapan dibuat selepas pemeriksaan urin yang dijalankan menunjukkan semua tangkapan terbabit positif dadah Janis methaphetamine atau syabu.

Effanehwati berkata turut berlaku pergelutan antara salah seorang suspek dengan pegawai AADK ketika pemeriksaan di salah satu lokasi penagihan terletak di Kampung Suriati.

Pemeriksaan lanjut dijalankan selepas menahan suspek dalam Op Cegah AADK di Papar. – Gambar SNT / Ihsan AADK Sabah

“Menerusi maklumat diperolehi, pondok yang berada dalam kawasan hutan itu menjadi tempat pembungkusan dadah namun ia sudah dikosongkan setibanya kami di lokasi terbabit.

“Bagaimanapun, dua daripada tiga suspek berjaya ditangkap pegawai bertugas sewaktu mereka cuba meloloskan diri manakala seorang lagi melarikan diri,” katanya ketika dihubungi SabahNewsToday hari ini.

Dilaksanakan di beberapa lokasi berbeza di daerah Papar, operasi disertai dua orang anggota AADK daerah Beaufort dan enam anggota Alpha Strike AADK Sabah.

Antara lokasi operasi termasuklah Kampung Kawang, Kampung Pengalat Kecil, Kampung Buang Sayang dan Kampung Laut Papar.

Dalam pada itu, Effanehwati berkata semua individu yang ditahan dibawa ke ibu pejabat AADK daerah Beaufort bagi sisatan lanjut dan permohonan reman bakal dilaksanakan di Mahkamah Majistret Beaufort.

“Kita juga meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah supaya menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Beaufort di talian 087-222667 atau tampil ke pejabat AADK berhampiran,” katanya. – SabahNews Today

Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/13-individu-ditahan-dalam-ops-cegah-aadk-daerah-papar/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *