Padah ceroboh kawasan larangan

SUSPEK diberkas ketika menceroboh di kawasan pelepasan kapal terbang KKIA. FOTO ihsan polisJunaidi [email protected]

SEORANG lelaki ditahan selepas bertindak menceroboh masuk ke kawasan pelepasan kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), semalam.

Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan oleh anggota keselamatan di kawasan KKIA pada jam 12.30 tengah hari selepas melihat suspek di kawasan larangan.

Difahamkan ketika kejadian, suspek dilihat mencurigakan dan berada di belakang sebuah pesawat yang hendak berlepas.

Anggota keselamatan yang melihat lelaki itu memanggilnya tetapi dia tidak mengendahkan sebelum ditahan kerana tempat terbabit adalah kawasan larangan.

Beberapa anggota polis bantuan kemudian membantu menahan suspek terbabit.

Lelaki itu kemudian dibawa ke Balai Polis KKIA untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek menceroboh masuk ke dalam kawasan larangan melalui lubang dawai yang dirosakkan.

“Suspek kini direman mengikut Seksyen 4 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959,” katanya. – Harian Metro

78