‘Angin baru’ SAFA

Datuk Peter Anthony (tengah) menerima baju Tambadau daripada Dr Liawas Barukang sempena Pelancaran Kelab Penyokong Tambadau di Stadium Sukan Likas. Foto Ihsan Sabah FA

PERSATUAN Bola Sepak Sabah (SAFA) menyifatkan beberapa pembaharuan yang dilakukan persatuan itu adalah untuk memajukan bola sepak negeri dan bukan bersifat peribadi.

Pemangku Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata, paling penting adalah memastikan pasukan utama negeri itu diurus dengan baik termasuk soal gaji, insentif, imbuhan dan keperluan lain.

“Kita tahu kedudukan kita (pasukan Sabah) sebelum ini tidak begitu baik kerana banyak masalah timbul termasuk kewangan sehingga menyusahkan pemain serta pasukan, namun masalah ini berjaya diselesaikan selepas pengurusan baharu masuk (ambil alih pentadbiran SAFA).

“Sudah pasti kita tidak boleh memuaskan hati semua penyokong kerana bukan semua mempunyai pandangan sama dan saya percaya ada sesetengah penyokong masih menyokong kerajaan atau pasukan yang lama.

“Bagaimanapun kita sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan mereka sekiranya mahu bersama-sama dengan kita untuk memajukan bola sepak di negeri ini,” katanya selepas pelancaran kelab penyokong Tambadau Sabah, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Tambadau Sabah, Dr Liawas Barukang.

Baru-baru ini, beberapa kelab penyokong Sabah mengadakan kempen memboikot setiap aksi pasukan itu di Stadium Likas.

Tindakan itu dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan beberapa pembaharuan dilakukan SAFA termasuk berkaitan maskot pasukan, warna jersi serta peraturan baharu yang dilaksanakan persatuan itu.

Terdahulu, Peter berkata, kelab penyokong Tambadau Sabah itu kini mempunyai kira-kira 800 ahli dan ia dijangka bertambah dalam masa ke semasa.

“Antara kelebihan menjadi ahli kelab ini termasuk pemberian pas bermusim kepada ahli yang mendaftar lebih awal dan mereka juga berpeluang untuk ‘terbang’ bagi menyaksikan perlawanan di gelanggang lawan,” katanya. Sementara itu, Liawas berkata, tujuan penubuhan kelab penyokong itu bukan untuk membezakan mereka dengan kelab penyokong lain.

“Hasrat kami semata-mata untuk menyokong pasukan Sabah, kami tidak pernah membezakan apatah lagi memusuhi kelab penyokong lain, tujuan kita semua adalah sama iaitu menyokong pasukan kesayangan kita,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *